MPFN Setuju RFN5, DPN3 diselaras bersama kerajaan negeri

9 APRIL 2026
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)

Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-50 bersetuju agar proses penelitian dan penyelarasan lanjut Draf Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) serta Draf Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3) dilaksanakan bersama kerajaan negeri, termasuk Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebelum dimuktamadkan sepenuhnya untuk diterima pakai.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan
mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga bersetuju supaya
cadangan projek infrastruktur strategik diteroka melalui model pelaksanaan secara penswastaan bagi mengoptimumkan pengurusan kos serta kecekapan fiskal negara.

“Melalui sinergi RFN5, DPN3 dan projek infrastruktur strategik, Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai keseimbangan antara pembangunan ekonomi serta kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan rakyat,” menurut KPKT.

Kenyataan ıtu memaklumkan MPFN turut mengambil maklum inisiatif infrastruktur strategik oleh Kementerian Kerja Raya yang melibatkan cadangan jajaran baharu Lebuhraya Pantai Barat (WCE) – Hubungan Selatan dari Banting, Selangor ke Gelang Patah di Johor sepanjang 303.5 kilometer (km).

PEMBINAAN JALAN BAHARU

Selain itu, mesyuarat turut mengambil maklum cadangan pembinaan jalan baharu dari Simpang Pelangai, Bentong, Pahang ke Putrajaya sepanjang 118.7 km sebagai laluan alternatif berkapasiti tinggi.

“Kedua-dua projek ini dirangka bagi
mengurangkan kesesakan kritikal di Lebuhraya Utara-Selatan (E2) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (E8), sekali gus meningkatkan kecekapan
rangkaian pengangkutan negara,” menurut KPKT.

KPKT memaklumkan mesyuarat bersetuju agar rundingan terperinci dilaksanakan bersama kerajaan negeri terlibat bagi memperkemas
kaedah pelaksanaan serta menjamin impak ekonomi yang maksimum kepada penduduk setempat.

Dalam pada itu, KPKT menambah MPFN telah mempertimbangkan sebanyak 10 kertas kerja yang merangkumi dua kertas kelulusan, tiga kertas persetujuan dan lima kertas makluman.

DUA DASAR UTAMA

Menurut kenyataan itu, MPFN turut meneliti Draf RFN5 dan Drat DPN3 yang disediakan oleh KPKT melalui PLANMalaysia sebagai dua dasar utama perancangan spatial negara.

KPKT memberitahu dokumen itu akan memacu hala tuju pembangunan dan tadbir urus fizikal Malaysia yang seimbang dan mampan, selaras dengan semangat kerajaan MADANI yang mengutamakan kerjasama Persekutuan dan negeri.

“Keputusan Mesyuarat MPFN ke-50 ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan perancangan fizikal negara sentiasa dinamik, inklusif dan berpandangan jauh,” menurut kenyataan itu. – SUMBER : BERNAMA

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *