




Oleh: Sholina Osman
10 APRIL 2026
Foto: YTSP Perlis
Bekas atlet angkat berat negara, Mohd Faiz Musa serta Ketua Jurulatih Persatuan Kecergasan Lompat Tali Negeri Perlis, Abdul Rashid Mahamoud telah menerima Anugerah Cemerlang Dalam Bidang Sukan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dalam satu majlis yang berlangsung di The Putra Regency Hotel, di Kangar semalam.
Anugerah tersebut telah disempurnakan penyampaiannya oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Pengerusi YTSP Perlis.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Mohd Faiz Musa, yang kini merupakan Presiden Persatuan Angkat Berat Negeri Perlis, terus mencipta impak besar apabila berjaya memimpin kontinjen angkat berat Perlis muncul juara keseluruhan di temasya SUKMA Sarawak.
EMPAT PINGAT EMAS
Kejayaan bersejarah itu diserlahkan melalui kutipan empat pingat emas, dua perak dan dua gangsa, meletakkan Perlis sebagai kuasa baharu yang sedang meningkat naik dalam arena angkat berat negara.
Beliau turut memainkan peranan strategik dalam merangka program latihan berprestasi tinggi, membentuk disiplin atlet serta mencungkil bakat baharu secara konsisten di peringkat akar umbi.
Sementara itu, Abdul Rashid Mahamoud turut menerima pengiktirafan atas sumbangan luar biasa dalam memartabatkan sukan lompat tali dan kecergasan fizikal, bukan sahaja di peringkat negeri malah hingga ke pentas antarabangsa.
SUKAN LOMPAT TALI
Beliau merupakan perintis yang memperkenalkan sukan lompat tali di Perlis, bermula sejak tahun 1999 menerusi program Jump For Heart hasil kerjasama kumpulan dari Yukon, Kanada bersama Institut Jantung Negara (IJN).
Pengiktirafan ini bukan sekadar meraikan kejayaan individu, tetapi menjadi simbol kebangkitan sukan negeri Perlis yang dipacu oleh kepimpinan, disiplin dan visi yang jelas.
Kejayaan tokoh-tokoh ini wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda untuk terus berani melakar kecemerlangan, sekali gus mengangkat nama Perlis ke tahap yang lebih tinggi di persada sukan nasional dan antarabangsa. – JM
