Dapur Siswa MADANI inisiatif UniMAP perkasa kebajikan pelajar

Oleh: Sholina Osman
11 APRIL 2026

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus komited dalam usaha memperkasakan kebajikan pelajarnya menerusi inisiatif Dapur Siswa MADANI @ UniMAP.

Pelancaran program ini telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Prof Dr Azlinda Azman di Kolej Kediaman Tuanku Abdul Rahman, Kampus Alam UniMAP di Pauh Putra, Arau, hari ini.

Dr Azlinda menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha murni ini sebagai platform membantu mahasiswa menangani kos sara hidup.

Beliau turut menyampaikan replika cek dana berjumlah RM 178,008.99 Fasa 1 khas untuk Dapur Siswa Madani @ UniMAP merangkumi lima kolej kediaman di universiti itu.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata pelaksanaan Dapur Siswa MADANI bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan pelajar, malah mampu memupuk semangat kebersamaan, nilai kesukarelawanan serta budaya hidup berdikari dalam kalangan warga kampus.

SATU LANGKAH PROAKTIF

“UniMAP menyifatkan penubuhan dapur ini sebagai satu langkah proaktif dalam menyokong agenda kesejahteraan pelajar secara holistik, khususnya dalam mendepani cabaran kos sara hidup masa kini.

“Diharapkan inisiatif seperti ini dapat diperluaskan lagi pada masa hadapan demi memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara dan kesejahteraan kampus kekal terjamin,” kata beliau ketika ditemui di sini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT Hirman Awang, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniMAP Prof Ir Dr Mohd Shukry Abdul Majid, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Prof Ts Dr Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah.

Sementara itu, seorang pelajar Tahun Satu Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Muhamad Darwisy Irfan Mohamad Dasuki ,19, berkata Dapur Siswa Madani berkenaan dapat menjimatkan perbelanjaan harian di kolej kediaman.

DIJADIKAN MENU SAMPINGAN

“Apabila ada inisiatif ini, saya hanya perlu membeli sardin atau telur menggunakan baucer FoodBank untuk dijadikan menu sampingan bersama makanan percuma yang disediakan sukarelawan.

“Semalam, saya bersama sukarelawan bekerjasama memasak bihun goreng yang kemudiannya dikongsi bersama rakan-rakan kolej kediaman secara tidak langsung menjimatkan perbelanjaan harian kami,” katanya ketika ditemui di sini.

Majlis turut diserikan dengan lawatan ke fasiliti dapur serta sesi interaksi bersama para pelajar yang bakal memanfaatkan kemudahan ini.

Dapur Siswa MADANI ini diwujudkan sebagai satu inisiatif prihatin yang menyediakan kemudahan kepada pelajar untuk menyediakan makanan secara lebih ekonomi, selamat dan teratur. Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi kerajaan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa diberi keutamaan.

Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP turut melaksanakan inisiatif mengagihkan bekas makanan agar dapat dimanfaatkan oleh pelajar UniMAP untuk mendapatkan makanan yang disediakan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *