




Oleh: Sholina Osman
14 APRIL 2026
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan Siri Syarahan Tuanku Syed Faizuddin Putra yang menampilkan tokoh antarabangsa, Canselor Singapore University of Social Sciences (SUSS) Dr. Halimah Yacob, yang juga bekas Presiden Singapura ke-8.
Dr Halimah menyampaikan syarahan bertajuk “Masyarakat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Setiap Tindakan”.
Beliau berkata mentaliti tersebut perlu berteraskan nilai integriti, disiplin, akauntabiliti dan tanggungjawab bagi memastikan kecemerlangan dapat dicapai secara konsisten dalam semua aspek kehidupan.
DILIHAT SEBAGAI PENCAPAIAN
“Kecemerlangan tidak seharusnya dilihat sebagai pencapaian sekali-sekala, tetapi perlu diamalkan secara berterusan dalam kepimpinan, pendidikan dan tadbir urus,” katanya dalam syarahan tersebut.
Syarahan tersebut diadakan bersempena Siri Syarahan Tuanku Syed Faizuddin Putra yang diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga Canselor UniMAP serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor UniMAP.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Noor Azman Abdul Rahman, Naib Canselor UniMAP Datuk Prof. Ts. Zaliman Sauli, Presiden SUSS Prof. Dr. Tan Tai Yong, dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor.
BERKONGSI PENGALAMAN SINGAPURA
Halimah turut berkongsi pengalaman Singapura dalam membangunkan negara daripada sebuah ekonomi kecil kepada antara ekonomi maju dunia melalui perancangan strategik jangka panjang, tadbir urus telus serta pelaburan berterusan dalam pendidikan dan pembangunan tenaga kerja.
Beliau berkata, dunia kini berdepan perubahan pesat akibat perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan pendigitalan yang dijangka mengubah landskap pekerjaan global.
“Sehubungan itu, pembelajaran sepanjang hayat menjadi keperluan penting bagi memastikan tenaga kerja kekal relevan dan berdaya saing.
“Perubahan akan terus berlaku, namun apa yang penting ialah bagaimana kita bertindak balas terhadapnya dengan disiplin dan tanggungjawab,” katanya.
PLATFORM WACANA STRATEGIK
Sementara itu, Dr. Zaliman berkata, penganjuran siri syarahan tersebut merupakan platform wacana strategik yang menghubungkan pemikiran kepimpinan, pengalaman global dan refleksi akademik.
Beliau berkata, inisiatif itu mencerminkan aspirasi UniMAP untuk menjadi universiti yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi turut menyumbang kepada perbincangan masa depan pembangunan negara dan rantau ini.
“Pengalaman kepimpinan global yang dikongsikan memberi perspektif penting dalam memahami bagaimana kepimpinan, pemikiran strategik dan pembangunan masyarakat mampu membentuk masa depan sesebuah negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan.
Tambah beliau, peranan universiti teknikal seperti UniMAP amat signifikan dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi serta menyumbang kepada pembangunan kejuruteraan dan teknologi negara.
Penganjuran program tersebut turut memperkukuh peranan UniMAP sebagai platform memperkasa wacana intelektual dan pembangunan masyarakat berdaya saing serta berintegriti. – JM
