Pensyarah lelaki di Kuantan rugi RM97,400 ditipu “phone scam”

Wartawan JM
15 April 2026

Seorang pensyarah lelaki
terpaksa berputih mata apabila kerugian sejumlah RM97,400.00 setelah menjadi mangsa penipuan panggilan telefon (phone scam).

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata mangsa berkenaan telah tampil membuat laporan polis pada 14 April 2026.

Beliau berkata ia bermula sejak mangsa menerima panggilan pada pukul 2 petang, 28 Mac 2026 semasa berada di rumahnya di Kuantan, Pahang.

“Panggilan itu daripada nombor 011-44057208,” kata Ashari dalam kenyataan media hari ini.

MENYAMAR SEBAGAI WAKIL

Beliau berkata suspek telah menyamar sebagai wakil syarikat insurans sebelum menyambungkan panggilan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis.

“Mangsa kemudiannya dimaklumkan terlibat dalam kes penggubahan wang haram dan diarahkan menyerahkan maklumat
perbankan bagi tujuan siasatan,” kata Ashari.

Beliau berkata pada 7 hingga 8 April 2026, mangsa mendapati wang simpanannya telah dipindahkan melalui dua transaksi ke akaun tidak dikenali berjumlah RM97,400.00.

“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas membuat semakan lanjut dengan pihak berkuasa sebelum tampil membuat laporan polis,” tambah Ashari.

Beliau menjelaskan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *