






Oleh: Sholina Osman
Foto: UniMAP
14 APRIL 2026
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima kunjungan balas mantan Presiden Singapura, Dr. Halimah Yacob di Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra.
Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor.
Majlis mengadap tersebut diadakan bersempena Siri Syarahan Tuanku Syed Faizuddin Putra yang menampilkan Dr. Halimah selaku Canselor Singapore University of Social Sciences (SUSS) dengan tajuk “Masyarakat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Setiap Tindakan” yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra sebelum itu.
BAHAWA PERUBAHAN PESAT
Dalam syarahannya, Dr. Halimah menegaskan bahawa perubahan pesat dunia pekerjaan menuntut masyarakat menerima hakikat bahawa pembelajaran tidak terhenti setakat penganugerahan ijazah, sebaliknya perlu berlangsung sepanjang kitaran hayat.
Beliau turut menekankan bahawa pendekatan pembangunan tenaga kerja perlu bersifat menyeluruh dan berterusan bagi memastikan tenaga kerja kekal relevan dan berdaya saing dalam menghadapi perubahan global.
“Dunia kini sedang mengalami transformasi pesat didorong oleh perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan pendigitalan yang bakal mengubah landskap pekerjaan.
KITA BERTINDAK BALAS
“Perubahan akan terus berlaku, namun apa yang penting ialah bagaimana kita bertindak balas terhadapnya dengan disiplin dan tanggungjawab,” katanya.
Dr. Halimah juga berkongsi pengalaman Singapura dalam membangunkan negara daripada sebuah ekonomi kecil kepada antara ekonomi maju dunia melalui perancangan strategik jangka panjang, tadbir urus yang telus, serta pelaburan berterusan dalam pendidikan dan pembangunan tenaga kerja.
Kupasan yang disampaikan bukan sahaja memberi perspektif baharu, malah memperkukuh kefahaman mengenai gagasan “Masyarakat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Setiap Tindakan” sebagai satu kerangka pemikiran penting dalam membentuk masa depan negara.
MEMPERKUKUH PERANAN UniMAP
Tuanku Raja Muda Perlis menitahkan bahawa penganjuran program seumpama ini dilihat mampu memperkukuh peranan UniMAP sebagai platform memperkasa wacana intelektual serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang berdaya saing, progresif dan berintegriti.
Tuanku Syed Faizuddin Putra juga amat bersetuju dengan perkongsian Dr Halimah bahawa, “Mentaliti kelas pertama bukan hanya dinilai melalui pencapaian luaran, sebaliknya bermula daripada standard dalaman diri yang berteraskan disiplin, integriti, tanggungjawab serta kejelasan tujuan.”.
Turut hadir ialah Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli dan Presiden SUSS, Professor Tan Tai Yong. – JM
