PMX, PM Australia adakan pertemuan empat mata bincang pelbagai bidang strategik

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
16 APRIL 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese mengadakan pertemuan empat mata dalam membicarakan dan membincangkan pelbagai bidang strategik antara kedua-dua negara.

Anwar berkata persahabatan kedua-dua negara terus diperkukuh melalui Perkongsian Strategik Komprehensif yang antara lain berkongsi kepentingan dalam memastikan kemakmuran, keselamatan, kestabilan dan masa depan ekonomi serantau, berasaskan kepercayaan strategik serta komitmen terhadap pasaran terbuka dan perdagangan berasaskan peraturan.

“Malah kami juga senada dalam menyatakan kebimbangan mendalam terhadap konflik di Asia Barat serta dampaknya, termasuk terhadap rantaian bekalan tenaga, harga serta aliran bekalan penting seperti minyak dan gas asli,” kata beliau dalam hantaran di FB.

UNTUK SALING MELENGKAPI

Jelas beliau Malaysia dan Australia mengiktiraf keperluan untuk saling melengkapi dalam hubungan perdagangan dan ekonomi, khususnya dalam aspek keselamatan tenaga, di mana kedua-duanya berperanan sebagai pembekal tenaga antara satu sama lain.

“Komitmen juga difokuskan terhadap perdagangan tenaga yang terbuka dan berasaskan peraturan, serta akan memastikan aliran perdagangan yang stabil, berkongsi pandangan secara telus, dan memperkukuh kerjasama dalam keselamatan tenaga,” kata beliau.

Anwar berkata usaha juga akan dipertingkat bagi memperkukuh daya tahan rantaian bekalan tenaga, menyokong peralihan tenaga dan memperluas penggunaan tenaga boleh baharu, demi menjamin keselamatan dan kemakmuran bersama. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *