Usaha melahirkan pelajar serba boleh hanya dengan berpaksikan al-Quran – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
16 APRIL 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa usaha melahirkan pelajar serba boleh menuntut pembinaan jati diri yang kukuh, berteraskan keseimbangan ilmu duniawi dan ukhrawi yang berpaksikan al-Quran.

“Dengan berpaksikan al-Quran dan Sunnah, setiap usaha menuntut ilmu bukan sahaja menjadi bekal kerjaya di dunia, malah menjadi jambatan menuju kejayaan hakiki di akhirat,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Baginda turut menyeru agar para pelajar beraspirasi menjadi Generasi Qurani yang bukan sahaja menghafal, tetapi menghayati, dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.

HATI YANG TERBUKA

Pelajar berkualiti, ialah mereka yang memiliki hati yang terbuka untuk dididik, lisan yang santun, serta sahsiah yang mencontohi kemuliaan akhlak Rasulullah SAW.

Demikian titah Tuanku Raja Muda Perlis ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega 2026 Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Perempuan Alawiyah, Kangar.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dan Pengetua sekolah, Tho’alimi Jib.

414 ORANG PELAJAR

Program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis ini melibatkan seramai 414 orang pelajar.

Pengetua sekolah, dalam ucapannya menegaskan bahawa komitmen berterusan dalam memacu kecemerlangan melalui penetapan KPI yang menyeluruh merangkumi aspek pentadbiran, pembangunan fizikal, kewangan, akademik serta pengurusan kurikulum, Hal Ehwal Murid (HEM) dan kokurikulum.

Dari segi akademik, pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk Program Khas IMTIAZ serta pembudayaan Professional Learning Community (PLC) secara holistik.

MENCATAT KEPUTUSAN CEMERLANG

Hasilnya, sekolah berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam SPM 2025 dengan kelulusan 100 peratus melibatkan 108 calon serta Gred Purata Sekolah (GPS) 2.82, sekali gus meletakkan sekolah sebagai antara yang terbaik di negeri Perlis.

Seramai 34 calon memperoleh keputusan 8A ke atas termasuk empat pelajar yang meraih keputusan cemerlang semua A.

Momentum kecemerlangan ini diteruskan dalam STPM Kohort 2024 dengan purata 3.39, manakala subjek Usuluddin mencatat NGMP terbaik 3.75. Empat calon turut mencapai PNGK 4.00.

KEJAYAAN DALAM KEJOHANAN

Dalam bidang kokurikulum, sekolah ini turut mencatat kecemerlangan membanggakan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa, termasuk kejayaan dalam kejohanan catur, pertandingan inovasi, robotik, serta memanah tradisional.

Secara keseluruhan, pencapaian ini membuktikan keupayaan sekolah melahirkan pelajar yang cemerlang secara holistik, merangkumi aspek akademik, inovasi, kepimpinan, sukan dan sahsiah.

Pada majlis yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian Bilik Al-Khwarizmi sebagai pusat aktiviti STEM dan inovasi di sekolah berkenaan.

Fasiliti ini bakal menjadi platform kepada para pelajar untuk meneroka, membangun dan memperkasa idea kreatif serta inovatif selaras dengan keperluan pendidikan masa kini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *