


Ipoh, 18 April – Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Dato’ Ahmad Sabri Mohamed mula bersara wajib 18 April 2026 setelah 37 tahun berkhidmat bersama Suruhanjaya ini.
Beliau diraikan dalam Majlis Persaraan dan Serah Terima Tugas yang diadakan di pejabat SPRM Perak, di sini semalam.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi berkata, SPRM amat menghargai segala jasa dan sumbangan Dato’ Ahmad Sabri dalam memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada SPRM.
“Ini merupakan satu pengorbanan yang tidak boleh dinilaikan dengan wang ringgit. Semoga beliau diberikan kesihatan, keberkatan dan kebahagiaan selama tempoh persaraan ini.
“Syabas dan tahniah kerana sepanjang menerajui SPRM Perak, pencapaian beliau amat cemerlang berkat daripada sokongan yang diberikan oleh ahli keluarga dan seluruh warga kerja SPRM,” katanya.
Sementara itu, Dato’ Ahmad Sabri dalam ucapannya berkata, sepanjang berkhidmat selama 37 tahun bersama SPRM akan menjadi kenangan terindah buat dirinya kerana memperolehi banyak pengalaman dan pengajaran hidup.
Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada barisan Pengurusan Tertinggi SPRM atas segala sokongan, bimbingan dan kerjasama erat seluruh warga kerja sepanjang beliau melaksanakan amanah yang diberikan.
“Saya juga mendoakan agar SPRM terus cemerlang dalam membanteras jenayah rasuah dan saya berharap hubungan baik ini tidak terhenti di sini,” katanya.
Pada majlis ini juga diadakan sesi serah terima tugas kepada Timbalan Pengarah Operasi SPRM Perak, KPKPj Jaafar Tajudin yang akan memangku tugas tersebut dengan disaksikan oleh Dato’ Indera Junipah.
Turut diraikan Datin Ezrazulis Abdul Hamid, Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) SPRM Perak.
Turut hadir memberikan penghormatan adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Azmi Kamaruzaman, Pengarah-pengarah Kanan, Pengarah-pengarah Bahagian serta Pengarah-pengarah Negeri SPRM.
Majlis diakhiri dengan acara melepaskan 37 ekor burung pipit selain acara simbolik “clock out” yang menandakan tamatnya perkhidmatan Dato’ Ahmad Sabri bersama SPRM.
