Kempen Internet Selamat ambil pendekatan rakan sebaya tingkat kesedaran kalangan belia

Wartawan JM
Foto BERNAMA
20 APRIL 2026

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, merasmikan Kempen Internet Selamat di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP), Johor, hari ini.

Kenyataan media MCMC memaklumkan kempen ini merupakan usaha berterusan Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memperkasa belia
menghadapi ancaman dunia digital.

Seramai 80 pelajar dan 20 fasilitator Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Pagoh menyertai program ini, termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Politeknik Tun Syed Nasir (PTSN).

AGEN PENYAMPAI MESEJ

Kesemua mereka akan bertindak sebagai agen penyampai mesej keselamatan siber kepada rakan sebaya.

Kempen Internet Selamat memberi fokus pada peningkatan kesedaran belia terhadap keselamatan dalam talian, termasuk ancaman penipuan digital, buli siber, penyebaran
maklumat palsu dan risiko perkongsian data peribadi secara berlebihan.

Program ini turut menampilkan pendekatan interaktif yang dikendalikan oleh fasilitator
MPP.

Antara pengisian utama ialah sketsa bertajuk “Ops Kantoikan Scammer: Aku Bukan Mangsa Kau!” yang memberi pendedahan secara santai tetapi berkesan mengenai taktik dan helah scammer serta langkah pencegahan.

DILIHAT LEBIH DEKAT

Pendekatan rakan sebaya ini dapat dilihat lebih dekat dengan kumpulan sasaran dan relevan dalam membentuk kesedaran, sekali gus meningkatkan impak penyampaian
kepada golongan belia.

Setakat 31 Mac 2026, sebanyak 47 program Kempen Internet Selamat telah dilaksanakan di IPT seluruh negara dengan penyertaan seramai 23,196 mahasiswa.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengarah Urusan MCMC, Encik Abdul Karim Fakir Ali. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *