Tubuh badan sihat, akal cerdas amanah Tuhan wajib dipelihara – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
20 APRIL 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa tubuh badan yang sihat dan akal yang cerdas merupakan anugerah serta amanah Tuhan yang amat berharga dan wajib dipelihara dengan penuh tanggungjawab.

Baginda bertitah, kesihatan bukan sekadar bebas daripada penyakit, sebaliknya merangkumi kesejahteraan menyeluruh meliputi aspek fizikal, mental dan sosial.

Baginda turut menegaskan bahawa rakyat yang sihat adalah aset terpenting negara serta menjadi pemacu kepada kemakmuran dan kestabilan Negeri Perlis yang tercinta.

HARI AKTIVITI FIZIKAL

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Aktiviti Fizikal Sedunia Peringkat Kebangsaan dan Karnival Jelajah Kecergasan Peringkat Negeri Perlis Tahun 2026 yang berlangsung di Dataran Datuk Sheikh Ahmad, Kangar pada ahad.

Bertemakan “Every Step Counts” atau “Setiap Langkah Bermakna”, Baginda bertitah bahawa setiap usaha kecil ke arah gaya hidup sihat mampu memberi kesan besar dalam jangka panjang. Untuk hidup aktif, jelas Baginda, ia tidak memerlukan kos yang tinggi atau peralatan canggih, sebaliknya menuntut kesedaran, kesungguhan dan konsistensi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menyeru agar seluruh rakyat Negeri Perlis tanpa mengira usia agar terus membudayakan gaya hidup aktif dalam kehidupan seharian serta menjadikan aktiviti fizikal sebagai rutin, bukan sekadar pilihan.

KEBERSIHAN DAN KELESTARIAN

Dalam masa yang sama, Baginda turut mengingatkan agar kebersihan dan kelestarian alam sekitar sentiasa dipelihara supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

“Setiap langkah yang kita ambil hari ini adalah pelaburan untuk kesihatan masa depan,” titah Baginda.

Keberangkatan tiba Tuanku Raja Muda disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (Kesihatan Awam), Dr Ismuni Bohari.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr Ghazali Chik serta barisan pengurusan tertinggi Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

PELBAGAI AKTIVITI KECERGASAN

Program yang berlangsung pada 18 hingga 19 April 2026 ini telah dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dengan pelbagai aktiviti kecergasan dan kesihatan untuk penglibatan komuniti, termasuk Langkah Sihat & Fun Walk, Aerofithon 90 Minit, pertandingan Xplore Race dan X-Break HePiLI, booth interaktif, serta saringan kesihatan percuma termasuk perkhidmatan pakar dari Hospital Tuanku Fauziah (HTF), dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan keluarga.

Turut diadakan ialah pertandingan woodball bagi mempromosikan World Cup Woodball Championship (WCWC) 2026 yang mana negeri Perlis telah terpilih untuk menjadi tuanrumah dan dua pertiga atlet yang akan mewakili pasukan kebangsaan adalah dari negeri ini.

Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan aktiviti fizikal, sejajar dengan dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang menunjukkan peningkatan peratusan rakyat Malaysia yang tidak aktif secara fizikal kepada 29.9 peratus.

MENYEMPURNAKAN SIMBOLIK PERASMIAN

Dalam majlis yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian, menyertai aktiviti ‘Brisk Walk’ sejauh 3 kilometer, serta menyempurnakan penyampaian hadiah pertandingan Lawn Bowls bagi kategori tempat pertama, kedua dan ketiga.

Baginda juga berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs Peduli berupa wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah kepada tiga asnaf terpilih iaitu Azali Othman, 78, dari Bintong, Siti Mohd Din, 62, dari Jalan Raja Syed Saffi, dan Rodzi Yob, 58, dari Behor Temak. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *