






Oleh: Sholina Osman
Foto: YTSP Perlis
21 APRIL 2026
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa amalan saling menghormati, bantu-membantu, serta bertolak ansur perlu dijadikan budaya harian dalam kalangan warga sekolah.
Sekolah harus menjadi medan membina persahabatan yang erat tanpa mengira latar belakang, agama, mahupun budaya.
Baginda menzahirkan bahawa nilai kasih sayang dan keprihatinan merupakan asas penting dalam membentuk kehidupan sekolah yang harmoni dan sejahtera.
“Perpaduan yang dipupuk sejak di bangku sekolah akan melahirkan masyarakat yang bersatu padu serta menyumbang kepada pembinaan negara yang aman dan makmur”.
PROGRAM TITIAN KASIH
Tuanku Raja Muda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Program Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis 2026 di Kangar baru-baru ini.
Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, Ketua Penyelaras Program Titian Kasih, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir, serta Pengetua SMK Perlis, Oui Siew Aim.
SERAMAI 673 ORANG
Program anjuran YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri ini melibatkan seramai 673 orang pelajar, terdiri daripada 339 pelajar lelaki dan 334 pelajar perempuan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pengetua SMK Perlis memaklumkan bahawa pada tahun 2026, sekolah tersebut telah melakar sejarah apabila berjaya menembusi pentas kokurikulum di peringkat antarabangsa dan kebangsaan.
Antara pencapaian membanggakan termasuk penyertaan murid dalam Hong Kong Rope Skipping Championship di Hong Kong.
Selain itu, murid sekolah ini turut mewakili Persatuan Pandu Puteri Kebangsaan dan berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan mencipta sampul angpau sempena Tahun Baharu Cina 2026.
DI PERINGKAT GLOBAL
Kejayaan ini membuktikan keupayaan murid SMK Perlis untuk bersaing di peringkat global, di samping memperkaya pengalaman serta meningkatkan kemahiran komunikasi dan pemikiran kreatif.
SMK Perlis juga aktif dalam menyebarluaskan aktiviti kokurikulum kepada komuniti setempat melalui pelbagai persembahan seperti Gendang 24 Musim, pancaragam sekolah dan tarian singa.
Inisiatif ini bukan sahaja mempamerkan bakat murid, malah menjadi medium interaksi bersama masyarakat serta memupuk semangat perpaduan dan kerjasama dengan pelbagai agensi luar.
MEMBERI IMPAK POSITIF
Penglibatan aktif dalam kokurikulum turut memberi impak positif terhadap pembentukan disiplin, keyakinan diri, semangat kerjasama dan kepimpinan, sekali gus melahirkan pelajar yang seimbang dari segi pencapaian akademik dan sahsiah.
Sempena majlis tersebut juga, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian Bilik ‘Smart Classroom’ yang bakal berfungsi sebagai inisiatif kelestarian pendidikan.
Kemudahan ini bertujuan memperkukuh penyampaian pendidikan secara digital serta mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih interaktif dan menarik dalam kalangan pendidik dan murid. – JM
