




Wartawan JM
20 APRIL 2026
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan hari ini melancarkan Kempen Pencegahan Vandalisme Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2026 sebagai
usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran awam dan membanteras aktiviti vandalisme dan kecurian terhadap kemudahan awam serta infrastruktur kritikal, khususnya melibatkan kemudahan komunikasi dan utiliti.
Majlis pelancaran kempen tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Teo Kok
Seong yang mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan ia turut dihadiri oleh wakil Kerajaan Negeri, agensi penguat kuasa, pihak berkuasa
tempatan, penyedia utiliti, pemain industri telekomunikasi serta komuniti
setempat.
Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesan aktiviti jenayah terhadap kesejahteraan mereka serta kelangsungan perkhidmatan penting.
RANGKAIAN GENTIAN OPTIK
Kerosakan kepada kemudahan seperti menara komunikasi dan rangkaian gentian optik boleh menyebabkan gangguan serius
kepada perkhidmatan Internet dan komunikasi yang kini menjadi keperluan asas masyarakat.
Kempen Pencegahan Vandalisme merupakan hasil kerjasama strategik antara MCMC, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Telekom Malaysia
(TM) serta pelbagai agensi dan rakan industri lain, dengan sokongan komuniti setempat termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan usaha pencegahan dapat dilaksanakan secara
menyeluruh dan berkesan.
Keperluan turut diperkukuh oleh insiden di sekitar Kuala Pilah melibatkan pencerobohan dan kerosakan terhadap kemudahan komunikasi, yang menjejaskan 14 menara dan memberi kesan kepada lebih 1,600 pengguna.
PERBUATAN TIDAK BERTANGGUNGJAWAB
Insiden tersebut membuktikan bahawa perbuatan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja merosakkan harta awam, malah turut memberi impak langsung kepada kehidupan harian rakyat.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, kempen ini turut menampilkan sesi pameran dan ceramah kesedaran bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan melindungi infrastruktur awam serta peranan komuniti dalam membantu usaha pencegahan vandalisme dan
kecurian.
MCMC dan Kerajaan Negeri Sembilan komited untuk terus memperkukuh
kerjasama ini melalui pendekatan bersepadu melibatkan pendidikan, kesedaran awam dan tindakan pencegahan, demi memastikan keselamatan infrastruktur
awam sentiasa terpelihara serta perkhidmatan kepada rakyat dapat disampaikan secara berterusan, stabil dan berkualiti. – JM
