






Oleh: Sholina Osman
21 APRIL 2026
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju penyelidikan berimpak tinggi apabila menjalinkan kerjasama strategik bersama Cendana Auto Sdn. Bhd. (CASB) melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) bagi melaksanakan projek penyelidikan kejuruteraan automotif bertajuk “Advanced Composite Vehicle Hood : Modeling, Strength Testing, Structural Design and Monocoque vs. Semi-Monocoque Modifications”.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Canselor UniMAP berkenan berangkat menyaksikan majlis pemeteraian tersebut yang berlangsung sempena Defence Services Asia (DSA) 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.
UniMAP diwakili oleh Naib Canselor, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli, manakala CASB diwakili oleh Pengarah Eksekutifnya, Datuk Abdul Rauf Nassiruddin.
PENGGUNAAN BAHAN KOMPOSIT
Melalui projek ini, penyelidikan akan memfokuskan kepada penggunaan bahan komposit seperti gentian karbon dan gentian kaca.
Secara ringkas, bahan ini lebih ringan berbanding besi biasa tetapi masih kuat dan tahan lasak.
Ini penting kerana industri automotif kini semakin menekankan penghasilan kenderaan yang jimat bahan api, selamat dan kos efektif.
Selain itu, kajian ini turut melihat perbezaan antara dua jenis struktur badan kenderaan, iaitu ‘monocoque’ dan ‘semi-monocoque’.
MENGENAL PASTI REKA
Tujuannya adalah untuk mengenal pasti reka bentuk yang paling sesuai dari segi kekuatan, berat dan tahap keselamatan semasa perlanggaran.
Pendekatan ini membantu memastikan kenderaan bukan sahaja ringan, tetapi juga selamat digunakan.
Bahan komposit sememangnya mempunyai banyak kelebihan seperti tahan karat dan lebih kuat berbanding beratnya, namun penggunaannya masih menghadapi beberapa cabaran, khususnya dari segi kos serta jaminan tahap keselamatan.
Sehubungan itu, projek ini akan menggabungkan kaedah simulasi komputer dan ujian praktikal bagi memastikan setiap reka bentuk yang dibangunkan benar-benar memenuhi piawaian yang ditetapkan.
DISOKONG OLEH PEMBIAYAAN
Projek ini disokong oleh pembiayaan industri sebanyak RM30,000 daripada CASB dan akan dilaksanakan selama dua tahun bermula 20 April 2026 hingga 19 April 2028.
Sepanjang tempoh ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama rapat dengan memanfaatkan kepakaran masing-masing.
Kerjasama ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi automotif yang lebih inovatif, selamat dan mesra masa depan.
Pada masa sama, ia turut memperkukuh hubungan antara institusi akademik dan industri, sekali gus meningkatkan daya saing industri automotif negara di peringkat global. – JM
