
KUCHING, 22 April – Kegiatan menyeleweng 650 liter diesel ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak dalam satu operasi di sebuah stesen minyak di Kuching Isnin lepas.
Pengarah KPDN Sarawak, Mathew Dominic Barin memaklumkan, bahan api tersebut ditemui disimpan dalam dua tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) di bahagian belakang sebuah lori.
Hasil pemeriksaan mendapati dua tangki berkenaan yang disimpan di belakang lori dan ditutup kemas bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
“Pegawai bertugas mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan sebelum menjalankan pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan tersebut.’ menurut kenyataan tersebut.
Menurut beliau, diesel yang dirampas itu bernilai RM1,397.50, dengan nilai keseluruhan berjumlah RM23,797.50.
Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
