
Wartawan JM
20 APRIL 2026
Malaysia dan Singapura menyambut baik gencatan senjata sementara melibatkan Amerika Syarikat, Iran, Israel dan Lubnan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika berhubung dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong hari ini.
Keduanya membincangkan perkembangan terkini konflik Asia Barat yang kian menghimpit rantaian tenaga dan bekalan dunia, termasuk di rantau kita.
“Ia keperluan mendesak untuk semua pihak menyokong penyelesaian yang lebih menyeluruh dan berkekalan,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
MENYOKONG USAHA DIPLOMATIK
Malah kata Anwar Malaysia menyokong usaha diplomatik yang sedang digerakkan, termasuk peranan Pakistan dalam membuka ruang dialog.
“Pada masa yang sama, kita menegaskan kepentingan mengekalkan kebebasan serta keselamatan laluan maritim di Selat Hormuz, selaras dengan undang-undang antarabangsa,” ujar beliau.
Menyentuh isu tenaga kata Anwar perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan sistem grid serta menangani cabaran keseimbangan penawaran dan permintaan, termasuk mempercepat pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN sebagai langkah strategik serantau.
“Insya-Allah, melalui kerjasama erat dan pendekatan berpaksikan kepentingan rakyat, kita akan terus memastikan Malaysia dan ASEAN kekal berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global ini,” tambah Perdana Menteri. – JM
