Malaysia, tumpuan pelaburan tenaga Asia Tenggara susulan peralihan modal global

KUALA LUMPUR, 22 April – Malaysia kini muncul sebagai destinasi pelaburan utama di Asia Tenggara susulan peralihan aliran modal ke rantau yang mempunyai kelebihan dari segi pengeluaran dan keupayaan sumber tenaga.

Menurut MBSB Investment Bank Bhd, penemuan luar pesisir terkini oleh Murphy Oil di Vietnam, di samping kedudukan Malaysia sebagai pasaran yang stabil dan mesra pelabur, mengukuhkan kepentingan strategiknya rantau ini.

“Seiring peralihan struktur dalam aliran pelaburan tenaga global ini, Malaysia Bid Round (MBR) 2026 telah dilancarkan secara rasmi oleh Petronas dengan tema ‘Advantaged Energy: Accelerating and Shaping Tomorrow’.

“Inisiatif ini merupakan usaha strategik untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan selamat pilihan, dengan memanfaatkan pengagihan semula modal yang sedang berlaku dari rantau berisiko tinggi,” kata bank pelaburan itu menerusi nota penyelidikannya.

MBSB berkata, tawaran itu distrukturkan bagi menarik pelbagai spektrum pelabur dengan menggabungkan aset matang berisiko rendah serta peluang penerokaan baharu berimpak tinggi.

Jelas firma itu, Malaysia menyasarkan pelaburan huluan tahunan antara RM50 bilion hingga RM60 bilion bagi mengekalkan momentum sektor tenaga.

Jumlah tersebut akan memastikan aliran berterusan aktiviti penerokaan dan pembangunan untuk menyokong kelestarian pengeluaran jangka panjang serta keselamatan tenaga.

“Kami mengekalkan penarafan positif terhadap sektor tenaga, disokong oleh keadaan bekalan global yang semakin ketat secara struktur serta premium risiko geopolitik yang tinggi berikutan peningkatan ketegangan di Asia Barat.

“Peningkatan ketara harga minyak mentah, dengan Brent kekal melebihi paras AS$100 setong tidak mencerminkan kekuatan permintaan, tetapi gangguan berterusan di bahagian penawaran, khususnya dari Selat Hormuz serta ketidakstabilan serantau yang lebih meluas,” tambahnya.

Sumber: RTM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *