PDRM TUMPASKAN KONTRABAN ROKOK, MINUMAN KERAS HAMPIR RM60 JUTA DI BINTULU

BINTULU, 22 April — Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak berjaya menumpaskan kegiatan kontraban rokok dan minuman keras tanpa cukai kastam bernilai hampir RM60 juta menerusi dua serbuan berasingan di Bintulu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan pertama yang dijalankan pada 12 April lalu berjaya menemukan enam kontena berisi rokok dan minuman keras di sebuah kapal di Sungai Kemena.

Menurut beliau, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Nilai rampasan bagi serbuan tersebut dianggarkan lebih RM28 juta, manakala sebuah kapal yang dirampas bernilai kira-kira RM9 juta,” katanya dalam sidang media di Pangkalan Polis Marin Wilayah 5, Bintulu pada pagi tadi.

Tambahnya lagi ,dalam serbuan kedua pada keesokan hari, polis menemukan tiga lagi kontena di sebuah gudang berhampiran dengan nilai rampasan hampir RM22 juta.Secara keseluruhan, jumlah rampasan mencecah lebih RM59 juta.

Dalam pada itu, beliau menegaskan PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti jenayah termasuk kontraban, penyeludupan dadah dan penipuan dalam talian.

Sehubungan itu, orang ramai diseru untuk terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras kegiatan jenayah.

Wartawan dan Photo – ISKANDAR SHAH

Sumber :beritartmsarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *