PGA CATAT RAMPASAN RM32.23 JUTA SEPANJANG APRIL 2026

KUCHING, 21 April – Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) mencatatkan 27 kejayaan operasi sepanjang tempoh 1 hingga 20 April menerusi pelaksanaan beberapa operasi khas di seluruh negeri.

Operasi tersebut melibatkan kawasan Kuching, Bintulu, Sibu, Sri Aman dan Miri, dengan jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM32.23 juta.

Menurut Komander Briged Sarawak PGA, SAC Lim Bak Phai, kejayaan terbesar direkodkan menerusi Op Taring Chiller dengan nilai rampasan RM21.3 juta.

Ia diikuti oleh beberapa operasi lain iaitu Op Taring Bravo, Op Taring Libas, Op Taring Batas/Awas, Op Hazard 3.0 dan Op Taring Mitra.

Beliau turut memaklumkan bahawa operasi yang dijalankan memberi tumpuan kepada penyelewengan diesel serta rampasan produk sejuk beku tanpa permit dalam skala besar.

Antara rampasan termasuk lebih 300,000 kilogram barangan bernilai kira-kira RM15.8 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, PGA juga melaksanakan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) sejak 16 Mac lalu.

Operasi itu melibatkan 264 pemeriksaan, dengan 31 kes dikesan serta rampasan bernilai RM13.5 juta dan 45 tangkapan dilakukan.

Ops Tiris 4.0 memberi fokus kepada isu ketirisan barang kawalan, khususnya diesel.

Secara keseluruhan, bermula 1 Januari hingga 20 April tahun ini, sebanyak 243 kes telah direkodkan dengan nilai rampasan RM156.63 juta serta 228 tangkapan.

PGA menegaskan komitmen untuk terus mempergiat operasi bagi membanteras penyeludupan dan jenayah rentas sempadan, sekali gus memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terpelihara.

Wartawan: ERIC
Foto: PGA

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *