


Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
22 APRIL 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyantuni mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah yang kehilangan segalanya dalam sekelip mata pada insiden pada 19 April lalu.
“Saya akui, hati ini benar-benar luluh melihat anak-anak kecil yang masih belum mengerti apa yang terjadi, ibu bapa yang menahan tangis dalam diam, dan keluarga yang kini hanya bergantung pada sisa kekuatan yang ada. Ini bukan sekadar ujian, tetapi derita yang menyayat hati,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
“Namun di celah duka yang begitu berat, saya menyaksikan sesuatu yang jauh lebih besar, iaitu ketabahan. Mereka tidak rebah, sebaliknya terus bertahan,” tambah beliau.
Sehubungan itu tegas Anwar, Pusat tidak akan sesekali membiarkan mereka sendirian.
JAMINAN SUMBANGAN SEGERA
Beliau memberi jaminan sumbangan segera telah dan sedang digerakkan meliputi bantuan wang ihsan untuk keluarga dan pelajar sekolah, keperluan asas, tempat perlindungan sementara serta sokongan berterusan dengan kerjasama erat Kerajaan Negeri.
Selain it kata Anwar usaha juga sedang dipercepat bagi memastikan mereka dapat kembali hidup dalam keadaan yang lebih selamat dan bermaruah, termasuk memastikan anak-anak segera kembali ke sekolah.
“Saya juga sedar, dalam kalangan mangsa ada yang bukan warganegara. Namun dalam saat getir seperti ini, kemanusiaan tidak boleh disempitkan oleh sempadan. Kita bantu setakat yang terdaya meliputi makan, minum, tempat berteduh dan keselamatan,” kata Perdana Menteri.
“Doa saya dan Azizah, serta seluruh keluarga besar Malaysia, bersama mereka. Semoga Allah mengangkat kesedihan ini, menguatkan jiwa yang diuji, dan menggantikan duka ini dengan harapan yang baharu,” kata beliau. – JM
