

Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
24 APRIL 2026
Senarai calon bagi jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata senarai itu merangkumi individu yang layak untuk menerajui badan pencegahan
rasuah negara itu.
Bercakap kepada media selepas menghadiri makan tengah hari dan menyantuni komuniti di Pasar Tani Kekal Permas Jaya di Pasir Gudang, Johor hari ini, Anwar sempat berseloroh apabila ditanya tentang jumlah calon yang disenaraikan untuk pertimbangan Seri Paduka Baginda.
“Ada 120 (nama calon yang diserahkan),” kata beliau sebelum bergerak menuju ke Masjid Bandar Permas Jaya di sini bagi menunaikan solat Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata butiran mengenai senarai pendek calon tidak akan didedahkan buat masa ini dan hanya akan diumumkan kemudian.
“Itu (senarai pendek) … akan diumumkan nanti,” katanya ringkas. – SUMBER : BERNAMA
