



Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
24 APRIL 2026
Usaha kerajaan mengangkat Tingkatan 6 sebagai pra-universiti dan pemerkasaan Institusi Pendidikan Guru (IPG) menuntut kematangan baharu di bidang pendidikan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam dunia yang digerakkan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan perubahan yang serba pesat, prasarana semata tidak memadai, malah yang harus kita bangunkan adalah bakat, perisian, akhlak dan nilai kemanusiaan.
“Lantaran itu, cita-cita sebuah negara yang madani mesti membina ekonomi yang teguh, tetapi mesti diseimbangkan dengan usaha membentuk masyarakat berilmu, bijak dan adil, waima di kota, desa, pedalaman mahupun di estet-estet,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Sebelum mengakhiri kunjungan singkat ke negeri Johor hari ini, Anwar telah bersama dengan warga pendidik dan anak-anak Kolej Tingkatan 6 di IPG Kampus Temenggong Ibrahim.
Anwar juga mengumumkan kelulusan RM200,000 bagi keperluan IPG Kampus Temenggong Ibrahim sebagai antara usaha memperkasa bidang pendidikan yang bermutu untuk semua.
Beliau menegaskan bahawa masa depan negara hanya akan melonjak dan menjanjikan harapan yang cerah sekiranya anak-anak mudanya punyai sikap cintakan ilmu, disiplin, dan keteguhan yang tinggi terkait akhlak dan kebijaksanaan. – JM
