Trump sahkan suspek insiden tembakan berjaya ditahan

WASHINGTON, 25 April – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan suspek yang terlibat insiden tembakan pada majlis makan malam dihadirinya pada Sabtu telah ditahan.

Dalam satu kenyataan, Trump berkata keadaan berjaya dikawal dengan pantas susulan tindakan segera pasukan keselamatan.

“Satu malam yang tidak dijangka berlaku, bagaimanapun pasukan keselamatan telah menjalankan tugas dengan cemerlang,” katanya.

Jelas Trump lagi, sebaik suspek ditahan, beliau mencadangkan supaya acara di hotel Washington Hilton itu diteruskan, namun keputusan penuh tertakluk kepada pihak berkuasa yang akan membuat penilaian lanjut.

Susulan insiden itu, beliau berkata Majlis Makan Malam Persatuan Wartawan White House yang dihadiri lebih 2,000 tetamu itu mungkin perlu diadakan sekali lagi dari awal pada hari lain.

Insiden berlaku apabila beberapa letupan kuat kedengaran ketika majlis berlangsung, hingga mencetuskan panik dalam kalangan hadirin.

Pegawai Perkhidmatan Rahsia yang lengkap bersenjata segera bergegas untuk membawa Trump dan isterinya, Melania, keluar dari dewan makan.

Beberapa pegawai kanan lain antaranya Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS, Robert F. Kennedy Jr. dan Ketua Pentagon, Pete Hegseth turut dilapor menghadiri majlis berkenaan dan disahkan selamat.

Seorang jurugambar bebas mendakwa mendengar antara empat hingga enam bunyi letupan kuat di hotel, namun bukan di kawasan berhampiran dewan makan.

Pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan dan pengawasan di sekitar hotel berkenaan susulan insiden tersebut. – REUTERS

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *