
KUCHING, 27 April – Kunjungan wakil Kesatuan Eropah ke Sarawak membuka peluang kerjasama lebih luas antara Malaysia dan blok itu, khususnya dalam pelaburan, perdagangan dan pembangunan mampan.
Duta Besar Kesatuan Eropah ke Malaysia, TYT Rafael Tristan Daerr berkata, lawatan sulungnya ke Sarawak memberi peluang memahami peranan penting negeri ini dalam landskap ekonomi negara.
Menurut beliau, Malaysia ialah rakan strategik penting kepada Kesatuan Eropah, bukan sahaja dari segi ekonomi, malah dalam aspek kestabilan serantau dan kerjasama global.
“Di Malaysia, Sarawak memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek dengan pendekatan berwawasan yang selari dengan kami, sama ada peralihan hijau, peningkatan pengeluaran tenaga hijau, serta kerjasama yang akhirnya mengukuhkan kedua-dua pihak dan daya tahan bersama.” katanya.
Beliau berkata demikian selepas kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, Kuching.
Tambah beliau, Kesatuan Eropah yang mempunyai 27 negara dan kira-kira 450 juta penduduk menawarkan peluang besar kepada Malaysia untuk memperluas perdagangan dan pelaburan.
Lawatan itu juga bertujuan menggalakkan penglibatan syarikat Eropah di Sarawak, sekali gus meningkatkan potensi pelaburan pada masa hadapan, seiring minat yang semakin meningkat terhadap negeri ini sebagai destinasi pelaburan utama.
Sumber : beritartmsarawak
