
KUCHING, 28 April – Kerajaan Negeri Sarawak akan memberi insentif khas kepada penjawat awam yang terlibat secara langsung dalam penjagaan warga emas di institusi kebajikan, selaras dengan amalan di peringkat Persekutuan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pemberian insentif itu penting sebagai penghargaan serta motivasi kepada petugas yang menjalankan tugas mencabar dalam menjaga dan merawat penghuni warga emas.
Setakat ini, Kerajaan Sarawak belum pernah memberi sebarang insentif melibatkan pegawai seperti Pembantu Pembangunan Masyarakat (gred S1) dan Pembantu Perawatan Kesihatan (gred U1).
Beliau berkata langkah ini turut menyelaraskan dasar antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, di samping meningkatkan kualiti perkhidmatan penjagaan warga emas di Sarawak.
Tambah beliau, syarat dan kelayakan serta pekeliling berkaitan insentif ini akan dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, dengan implikasi kewangan sebanyak RM69,600 setahun, iaitu RM200 sebulan.
Insentif itu melibatkan 29 pegawai daripada dua pusat jagaan warga emas, iaitu Rumah Sri Kenangan Kuching dan Sibu.
Sementara itu, Dato Sri Fatimah berkata pemberian insentif tersebut amat wajar memandangkan tanggungjawab menjaga warga emas bukan tugas yang mudah.
“Memang sewajarnya pihak kita memberikan insentif ini kerana bukan senang untuk menjaga warga emas. Kita akan faham apabila kita sendiri menjadi warga emas nanti, kita mungkin lebih sensitif,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Bantuan Bayaran Insentif Penjagaan Warga Emas kepada Pegawai Perkhidmatan Awam di Rumah Sri Kenangan, Kuching.
Wartawan/Foto: MIKE
