Lindungi setiap inci kedaulatan wilayah negara daripada sebarang ancaman – Raja Perlis

Foto: Istana Arau
27 APRIL 2026

Lindungi dan pertahankan setiap inci kedaulatan wilayah negara daripada sebarang ancaman. Pada masa yang sama pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diingatkan supaya sentiasa memberikan keutamaan untuk peningkatan taraf hidup serta kesiapsiagaan anggotanya.

Sistem komunikasi, peralatan, dan aset pertahanan untuk kecekapan operasi perlu dinaiktaraf secara berterusan, kediaman yang kondusif bagi anggota dan keluarga mesti disediakan, serta elaun bagi menjamin kebajikan ekonomi warga ATM wajar disemak dan ditambahbaik dari semasa kesemasa.

Pertahanan negara bukan sahaja bergantung kepada aset moden, tetapi juga pada kesejahteraan fizikal, mental, dan ekonomi anggotanya.

Demikian titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ketika berkenan menerima sembah mengadap oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman di Balai Menghadap Biru, Istana Arau.

504 ASKAR WATANIAH

Turut berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia.

Majlis mengadap ini mencerminkan hubungan erat dan berterusan antara institusi DiRaja Perlis dengan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, khususnya dalam memperkukuh aspek kestabilan negara serta dalam mendepani cabaran keselamatan semasa serta masa hadapan.

Turut hadir ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal, Panglima 2 Divisyen (Divisyen Kedua Infantri Malaysia), Mejar Jeneral Zamsari Abu Hasan, serta Panglima 30 Briged (Briged ke-30 Infantri Malaysia), Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim.

Tuanku Syed Sirajuddin yang juga selaku Kolonel Yang DiPertua Kor Rejimen Renjer DiRaja dan Kor Polis Tentera DiRaja Malaysia merupakan alumnus Royal Military Academy Sandhurst (RMAS), United Kingdom (1964-5) turut berkongsi pengalaman peribadi pahit getir perjuangan Baginda sebagai seorang Pegawai Tentera ketika negara mengharungi insurjensi menentang komunis, penempatan di barisan hadapan kawasan tumpuan konflik ketika KonfrantasI, serta, Peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *