


Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
28 APRIL 2026
Syarikat teknologi asing disyaratkan menyediakan pendedahan berkemahiran tinggi kepada bakat tempatan sebagai prasyarat untuk melabur di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata tumpuan kini merangkumi bukan sahaja industri minyak dan gas, malah sektor bahan kimia yang memenuhi keperluan baharu negara, selain bidang teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI).
“Kita tidak menerima latihan yang hanya pada tahap minimum tetapi mahukan sesuatu yang memberi kita kelebihan,” kata beliau pada sesi
Temu Anwar dan peluncuran pembinaan bangunan baharu Universiti UCSI di Kuala Lumpur hari ini.
Anwar berkata kerajaan kini giat membangunkan bakat Al dalam negara bagi memenuhi keperluan
pelaburan teknologi tinggi yang semakin berkembang di Malaysia.
KUMPULAN BAKAT MENCUKUPI
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan negara mempunyai kumpulan bakat mencukupi untuk menyokong kemasukan pelaburan baharu dalam sektor teknologi dan digital.
Anwar berkata semua universiti turut digalakkan memperluas penawaran pendidikan Al agar Malaysia tidak hanya menjadi pengguna teknologi, sebaliknya muncul sebagai peneraju dalam bidang berkenaan.
“Semua universiti diminta ada unit atau jabatan atau fakulti Al supaya kita jangan hanya jadi pengguna malah sebagai peneraju,” kata beliau.
Sementara itu, Anwar berkata pelaksanaan Sovereign Al Cloud tidak bertujuan menyekat pelaburan syarikat teknologi global, sebaliknya hanya melibatkan kawalan terhadap data sensitif di bawah skop keselamatan negara.
Beliau berkata masih terdapat kekeliruan berhubung konsep Sovereign Al Cloud, yang tertumpu pada perlindungan data strategik kerajaan dan keselamatan nasional,
bukan kawalan menyeluruh ke atas semua data dalam negara.
“Sovereign Cloud, sekali lagi saya ingatkan, terbatas dalam isu di bawah skop keselamatan negara.
“Jika Google, Microsoft, AWS ingin membangunkan cloud mereka sendiri, kita tidak menghalang. Konsep Sovereign Cloud ini, tidak bermakna kita mengawal semua akses data yang ada,” kata beliau. – SUMBER : BERNAMA
