
30 April 2026
Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memberikan penjelasan berhubung
penyediaan perkhidmatan saringan kesihatan, termasuk pengambilan darah
(blood testing/phlebotomy) di premis atau kemudahan farmasi komuniti.
Kementerian mengakui peranan farmasi komuniti adalah penting dalam
menyumbang kepada ekosistem penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada
rakyat.
Pengambilan darah merupakan suatu prosedur klinikal yang memerlukan
pematuhan kepada standard keselamatan serta pengurusan risiko yang
sewajarnya dan perlu dilaksanakan di fasiliti kesihatan yang mematuhi
peruntukan undang-undang sedia ada.
Merujuk seksyen 2 Akta Kemudahan dan
Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586], perkhidmatan saringan
kesihatan, termasuk pengambilan darah adalah terangkum di dalam
perkhidmatan jagaan kesihatan.
Oleh itu, berdasarkan kepada kerangka perundangan sedia ada, premis yang
menjalankan aktiviti pengambilan darah disifatkan menyediakan perkhidmatan
jagaan kesihatan yang tertakluk kepada keperluan pendaftaran dan pelesenan
bawah Akta 586.
Menjalankan perkhidmatan ini tanpa pendaftaran atau lesen
sah di bawah Akta 586 adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda
sehingga RM500,000 atau penjara sehingga 6 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Kementerian Kesihatan akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi
memastikan penyediaan perkhidmatan jagaan kesihatan dijalankan di premis
fasiliti kesihatan yang berdaftar atau berlesen selaras dengan ketetapan undang-
undang.
Penegasan kepada keperluan pelesenan dan pendaftaran ini adalah
penting untuk memastikan keselamatan, kualiti, dan akauntabiliti perkhidmatan
kepada masyarakat serta melindungi farmasi komuniti daripada risiko undang-
undang dan reputasi.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
30 April 2026
