Setiap pelajar digalakkan tetapkan sasaran sendiri bagi mencapai impian – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
1 MEI 2026

Setiap pelajar digalakkan menetapkan sasaran sendiri dengan sokongan serta dorongan ibu bapa atau penjaga dan guru, supaya perjalanan mencapai impian masing-masing sentiasa berada di landasan yang tepat.

Fokus yang teguh, pengurusan masa yang cekap, serta keseimbangan antara belajar dan rehat adalah kunci untuk memastikan minda seseorang pelajar itu kekal segar dan semangat tidak pernah pudar dalam mengejar cita-cita.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Program Agihan Zakat MAIPs yang berlangsung di Masjid Al-Imarah Abi, Batas Paip, Kangar baru-baru ini.

Mengiringi Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

DILAKSANAKAN SECARA BERKALA

Program agihan ini dilaksanakan secara berkala melibatkan masjid-masjid di seluruh Negeri Perlis sebagai manifestasi komitmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam memastikan kebajikan golongan asnaf serta anak kariah sentiasa terpelihara dan terbela.

Inisiatif ini bertujuan untuk meringankan beban golongan yang memerlukan, di samping mengeratkan ukhwah dalam kalangan masyarakat dengan menjadikan masjid sebagai pusat khidmat komuniti yang menyeluruh.

Dalam program ini, sebanyak RM52, 500 telah disalurkan kepada seramai 75 orang penerima yang terdiri daripada asnaf dalam kalangan anak kariah setempat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *