Pelajar perlu lengkapkan diri dengan kemahiran penuhi keperluan industri – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
Foto: YTSP Perlis
6 MEI 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar para pelajar melengkapkan diri dengan kemahiran praktikal serta kepakaran yang relevan bagi memenuhi keperluan industri dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

Baginda turut menekankan kepentingan memanfaatkan teknologi secara bijaksana dengan menjadikan kemajuan digital sebagai medium pembelajaran, inovasi dan pembinaan masa hadapan, bukan sekadar untuk hiburan semata-mata.

Dalam titah yang sama, Tuanku Raja Muda menyeru agar kerjasama antara institusi pendidikan, industri dan komuniti terus diperkukuh.

Menurut Baginda, pendedahan kepada situasi sebenar dunia pekerjaan amat penting dalam membentuk pelajar yang lebih bersedia, berdaya saing dan berwawasan.

TITIAN KASIH MEGA

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega Peringkat Kolej Vokasional Kangar baru-baru ini.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengarah Kolej, Zazlan Darus.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembangunan Murid), Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Che Rasaidi Che Yob, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Ketua Penyelaras Program Titian Kasih, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

SERAMAI 302 ORANG

Program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis tersebut melibatkan seramai 302 orang pelajar, terdiri daripada 156 lelaki dan 146 perempuan.

Dalam ucapannya, Pengarah Kolej Vokasional Kangar memaklumkan bahawa para pelajar institusi berkenaan telah mencatat pelbagai pencapaian cemerlang di peringkat zon, kebangsaan dan antarabangsa.

Antara kejayaan yang membanggakan termasuk pencapaian pelajar Program Penyejukan dan Penyamanan Udara yang meraih pingat gangsa dalam Langkawi International Regatta Perdana.

TUJUH PASUKAN KOLEJ

Selain itu, tujuh pasukan kolej berjaya merangkul tempat pertama dalam pertandingan KV Skills Zon Perlis dan Kedah seterusnya mewakili zon ke peringkat kebangsaan.

Program Teknologi Pembinaan turut mengharumkan nama institusi dengan meraih pingat emas dalam pertandingan Inovasi Island TVET, manakala Program Teknologi Elektrik mencatat kejayaan cemerlang dengan satu pingat emas dan dua pingat perak di peringkat kebangsaan.

Di peringkat antarabangsa, Program Teknologi Maklumat berjaya meraih pingat emas menerusi projek Subnetsmart, manakala Program Seni Kulinari memenangi pingat perak melalui projek Herby Brew di Bangkok.

PELAJAR TURUT AKTIF

Melalui penglibatan dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) KV Insani: Masyarakat MADANI, para pelajar turut aktif melaksanakan pelbagai inisiatif khidmat komuniti termasuk kerja-kerja baik pulih, penyelenggaraan, perkongsian ilmu serta bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Pendekatan ini membuktikan bahawa pelajar Kolej Vokasional Kangar bukan sahaja cemerlang di pentas pertandingan, malah berupaya menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan masyarakat.

Beliau turut menekankan bahawa kejayaan sebenar pendidikan bukan sekadar diukur melalui pencapaian akademik atau pengiktirafan, sebaliknya terletak pada nilai kemanusiaan yang diterapkan dalam diri setiap pelajar. Institusi vokasional berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan pendidikan dengan komuniti, sekali gus melahirkan generasi yang bukan sahaja kompeten, malah berjiwa besar dan berbakti.

Dalam majlis yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian ‘Bengkel Seni Reka Fesyen’ yang akan digunakan sebagai fasiliti pengajaran dan pembelajaran bagi program berkenaan, merangkumi aspek reka bentuk, ilustrasi, lakaran pola serta penghasilan pakaian. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *