Padang Awam Dibuka Lebih Awal Dan Lebih Lama Untuk Warga Kota

10 Mei 2026

Warga kota kini mempunyai lebih masa dan ruang untuk memulakan hari dengan lebih sihat dan tenang. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melanjutkan waktu operasi 10 taman awam di bawah seliaannya bermula seawal jam 5.30 pagi hingga 10.00 malam bagi memberikan lebih peluang kepada orang ramai menjalankan aktiviti riadah dan rekreasi dalam suasana yang lebih selesa.

Taman-taman awam yang terlibat ialah:

  1. Taman Botani Perdana;
  2. Taman Tasik Titiwangsa;
  3. Taman Metropolitan Kepong;
  4. Taman Tasik Permaisuri;
  5. Taman Bukit Jalil;
  6. Taman Tasik Menjalara;
  7. Taman Pudu Ulu;
  8. Taman Rekreasi Alam Damai;
  9. Taman Tasik Ampang Hilir;
  10. Taman Tasik Danau Kota.

Selain itu, waktu operasi bagi Taman Botani Perdana dan Taman Tasik Titiwangsa turut akan dilanjutkan sehingga jam 12.00 tengah malam pada setiap Jumaat dan Sabtu bagi memberikan lebih ruang kepada warga kota dan keluarga untuk beriadah pada waktu malam.

Waktu operasi bermula jam 5.30 pagi dipilih dengan mengambil kira aspek keselamatan pengguna, pencahayaan kawasan, kesiapsiagaan operasi serta pola penggunaan taman oleh warga kota khususnya golongan bekerja, warga emas dan komuniti yang memilih waktu awal pagi untuk melakukan aktiviti riadah dalam suasana yang lebih nyaman dan kurang sesak.

Pelaksanaan ini juga mengambil kira aspek kebersihan taman, penyelenggaraan tandas awam, kawalan keselamatan dan penyelarasan petugas di lapangan agar kemudahan awam dapat digunakan dengan selesa dan selamat.

Dalam kehidupan bandar yang semakin pantas dan mencabar, ruang hijau dan taman awam memainkan peranan penting terhadap kesejahteraan fizikal dan mental masyarakat.

Di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, beberapa kawasan promenade, padang awam dan taman awam di bawah seliaan Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) juga dibuka seawal jam 5.30 pagi bagi membolehkan orang ramai menjalankan aktiviti riadah dan rekreasi dengan lebih selesa. Antara lokasi yang terlibat ialah:

Wilayah Persekutuan Putrajaya:
a . Promenade Persiaran Perdana, Presint 2 (Dataran Wawasan) ;
b . Padang Awam Presint 9 ;
c. Taman Awam Taman Kejiranan Presint 16;
d. Taman Awam Taman Canseri, Presint 1 5 (Laman Duta);
e . Taman Awam Secret Garden Putrajaya Steps, Presint 1 ; dan
f . Taman Awam Taman Seri Empangan, Presint 5 .

Wilayah Persekutuan Labuan:
a. Padang Awam Dataran Labuan;
b . Padang Ragbi Labuan;
c . Padang Membedai;
d . Taman Botani Labuan;
e. Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan; dan
f . Kawasan Rekreasi Taman Damai Pantai Layang-Layangan

Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan perlu terus menjadi wilayah yang bukan sahaja bergerak pantas tetapi masih memberikan ruang kepada rakyat untuk hidup dengan lebih sihat, selesa dan seimbang.

Hannah Yeoh
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Wilayah Persekutuan)

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *