
8 Mei 2026
Kehadiran Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar ke program Quranic Madani di Bukit Bintang malam tadi menyerlahkan sambutan luar biasa terhadap pengisian kerohanian di tengah kesibukan ibu kota Kuala Lumpur.
Walaupun cuaca tidak menentu dengan hujan yang baru reda serta kesesakan lalu lintas di kawasan tumpuan pelancong itu, ribuan pengunjung tetap membanjiri lokasi program seawal malam bagi menyertai aktiviti selawat, zikir dan mendengar tausiah.
Ketibaan Nurul sekitar jam 9 malam turut mencuri perhatian apabila orang ramai mengambil peluang untuk bersalaman dan merakam gambar, sekali gus menambah kemeriahan suasana program. Kehadiran itu juga dilihat sebagai tarikan tambahan yang merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, khususnya golongan muda serta keluarga yang hadir.
Dalam masa sama, program berkenaan terus mendapat maklum balas positif daripada pengunjung yang menyifatkan ia berjaya mewujudkan suasana damai dan harmoni di tengah hiruk-pikuk bandar, selain menjadi platform menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang melalui pendekatan kerohanian.
Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Fadhil Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil turut memuji penganjuran program tersebut yang menurutnya mampu memperkukuh pembangunan rohani masyarakat.
Program dimulakan dengan solat Isyak berjemaah, diikuti bacaan Surah al-Mulk serta sesi tausiah yang menekankan kepentingan pembentukan akhlak dalam membina masyarakat seimbang.
Menurut beliau, pembangunan negara tidak boleh hanya bergantung kepada kemajuan material semata-mata, sebaliknya perlu disertai pembinaan sahsiah dan nilai akhlak yang kukuh.
“Program Quranic Madani ini mencerminkan komitmen kerajaan MADANI dalam memperkukuh kesejahteraan rohani masyarakat. Usaha sebegini diharap dapat menyuburkan kecintaan terhadap al-Quran serta melahirkan masyarakat berilmu, berakhlak dan bersatu padu,” katanya.
