






Oleh: Sholina Osman
Foto: MAIPs
10 MEI 2026
Sambutlah arus inovasi digital dengan sebaiknya, namun jangan sesekali meninggalkan jati diri unik Perlis.
Jadikan setiap cabaran global sebagai peluang untuk kita bangkit lebih progresif dan berdaya saing.
Paling utama, beri fokus kepada pembangunan insan. Rakyat yang berilmu dan berakhlak adalah nadi kekuatan negeri ini.
Dengan memperkasakan bakat dan kebajikan umat, kita bukan sekadar membina bangunan, tetapi membina sebuah tamadun yang berjiwa demi masa depan Perlis yang gemilang.
SUMBANGAN MAIPs PEDULI
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Behor Temak, Kangar baru-baru ini.
Program Kayuhan MAIPs Peduli merupakan satu inisiatif kebajikan yang inovatif dan berimpak tinggi, yang menggabungkan aktiviti riadah berbasikal dengan misi kemanusiaan menyantuni golongan asnaf secara langsung di kediaman mereka.
Pendekatan ini bukan sahaja mendekatkan institusi dengan masyarakat, malah membolehkan keperluan sebenar penerima dikenal pasti secara lebih tepat dan segera.
SUMBANGAN KEPADA ASNAF
Dalam program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang Dipertua MAIPs berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan kepada asnaf terpilih berupa wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah sebagai usaha meringankan beban kehidupan mereka.
Turut menyampaikan sumbangan CSR sempena aktiviti tersebut ialah Konsulat Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) dan Koperasi Kakitangan Petronas (KOPETRO) Berhad.
Antara penerima sumbangan MAIPs kali ini ialah Zulkifle Mat Dauh, 62, dari Kampung Panggau, Rodia Jani, 70, dari Kampung Tebing Tinggi, serta Khirudin Ismail, 79, dari Kampung Teluk Kachang.
Program seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam memperkukuh kesejahteraan ummah melalui pendekatan proaktif, inklusif dan berteraskan nilai ihsan, sejajar dengan peranan institusi tersebut sebagai pemangkin kebajikan rakyat di negeri ini. – JM
