Tokoh kewangan hadapi tuduhan pecah amanah pelaburan RM10.55 juta

11 Mei 2026

Tokoh kewangan Islam terkenal, Mohd Daud Bakar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan wang pelaburan berjumlah RM10.55 juta milik beberapa individu dan syarikat perdagangan.

Mohd Daud, 62, yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, didakwa bersama rakan niaganya, Norliza Tajudin, 54, selaku pengarah dan pemegang saham syarikat Energy Eco Sdn. Bhd.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, lapor media tempatan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, mereka didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah RM400,000, RM500,000, RM900,000, RM2 juta, RM550,000, RM6 juta dan RM200,000 milik beberapa individu serta syarikat berasingan.

Antara pihak yang terbabit ialah bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, selain Moideen Kunjayu, Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad dan Myad Kapital Sdn. Bhd.

Pendakwaan mendakwa wang berkenaan digunakan secara tidak jujur dengan melanggar kontrak nyata menerusi beberapa perjanjian Shareholder’s Advance Agreement yang dimeterai antara tahun 2021 hingga 2024 bagi projek pembuatan sarung tangan patuh syariah.

Kontrak terbabit antaranya bertarikh 22 Jun 2021, 19 Januari 2022, 1 April 2022, 27 April 2022, 6 Disember 2022, 5 April 2023 dan 12 Mei 2024.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua institusi perbankan di Taman Setiawangsa dan Jalan Maarof, Bangsar antara 22 Jun 2021 hingga 12 Mei 2024.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM100,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selain syarat tambahan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sekali setiap bulan.

Hakim turut memerintahkan pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melarang mereka mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 19 Jun depan untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen.

Kes terbaharu itu menambah lagi siri tindakan undang-undang dihadapi Mohd Daud selepas beliau pada Februari lalu turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan bersubahat menjalankan aktiviti urus niaga sekuriti tanpa lesen sah membabitkan syarikat AUF MBZ Consortium PLT.

Dalam kes itu, beliau juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *