PMX lawat SMK Banggi, pernah dikunjungi 32 tahun lalu

Wartawan JM
9 MEI 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat ke Karakit, pekan yang menjadi nadi kehidupan ribuan penduduk di Pulau Banggi, Kudat, Sabah.

Beliau berkata sebaik tiba, beliau dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi, lokasi sama yang pernah dikunjungi sekitar 32 tahun lalu.

“Kunjungan ini menghimbau kembali lawatan saya pada 10 November 1994 untuk meletakkan batu asas dan melakukan pecah tanah sebagai simbolik permulaan pembinaan SMK Banggi. Hingga hari ini, sekolah ini kekal sebagai satu-satunya sekolah menengah di Pulau Banggi,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

Beliau juga sempat bertemu bekas pengetua SMK Banggi, Cikgu Abdul Waris Imam Goy yang memimpin sekolah ini ketika ia mula membuka pintunya kepada anak-anak Banggi pada tahun 1997.

RAMAI PELAJAR TERPAKSA

Jelas Anwar sebelum sekolah ini diwujudkan, ramai pelajar terpaksa ke tanah besar Kudat untuk menyambung pendidikan.

Malah kata beliau tidak kurang juga yang terhenti persekolahan kerana kekangan kos dan kesukaran perjalanan.

“Alhamdulillah, sekolah yang suatu ketika dahulu hanya sebuah tapak kini berdiri megah dan menjadi medan mencorak masa depan pulau terpencil ini,” kata beliau.

Beliau berkata pertemuan dengan anak-anak yang pernah menimba ilmu di sekolah ini dan telah melangkah jauh dalam kehidupan memberi makna besar buat dirinya.

“Semoga anak-anak Banggi terus berjaya, kembali menyumbang kepada masyarakat dan menjadi sebahagian daripada ikhtiar besar kita membangunkan pulau ini demi masa depan yang lebih adil dan bermaruah,” kata Anwar. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *