
KUCHING, 12 MEI – Kerajaan Sarawak menggariskan beberapa pendekatan strategik bagi mengurangkan kos input pertanian secara langsung tanpa hanya bergantung kepada peningkatan subsidi.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Industri Makanan) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata pendekatan tersebut memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi moden serta pembangunan sumber input alternatif tempatan.
Menurut beliau, antara pendekatan utama yang dilaksanakan ialah memperkukuh amalan pertanian baik atau Good Agriculture Practice (GAP) bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan penggunaan input pertanian.
Selain itu katanya, kerajaan turut menggalakkan penggunaan baja alternatif berasaskan konsep ”waste to wealth” termasuk penghasilan baja organik daripada sisa pertanian, sisa ternakan dan bahan buangan industri agro.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Beting Maro Dato Razali Gapor pada persidangan DUN hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman berkata kerajaan turut meningkatkan khidmat sokongan berkaitan keupayaan tanah melalui penyediaan khidmat nasihat teknikal, pemetaan kesesuaian tanah serta cadangan jenis tanaman optimum mengikut ciri tanah setempat.
Katanya, pemetaan kesesuaian tanah secara terperinci membolehkan pengelasan kawasan dibuat berdasarkan potensi agroekologi masing-masing sebelum menentukan jenis tanaman paling sesuai untuk diusahakan.
Tambah beliau, pendekatan tersebut disokong menerusi penyebaran maklumat dan bimbingan lapangan oleh pegawai teknikal supaya setiap keputusan penanaman dibuat berdasarkan data serta bukti saintifik.
Mengenai usaha memperkukuh amalan GAP pula, beliau berkata pendekatan itu dilaksanakan melalui Program Kesuburan Tanah dan Nutrisi Tanaman serta Program Pemeliharaan Tanah dan Agroekosistem.
Katanya, program berkenaan menumpukan kepada pengurusan tanah lestari, penggunaan input secara tepat dan pemeliharaan keseimbangan ekosistem pertanian.
DEBBIE AMANDA
FOTO: Jabatan Penerangan Sarawak
