Mohd Faizul diumum pengunjung ke-10,000 ke Ladang Harumango

Oleh: Sholina Osman
12 MEI 2026

Mohd Faizul Ahmad dari Kepala Batas, Pulau Pinang terkejut besar apabila diumumkan sebagai pengunjung ke-10,000 ke Ladang Harumango yang terletak di kaki Bukit Chuping, Perlis bagi tahun 2026 ini.

Beliau yang hadir bersama keluarga dan pengunjung lain bagi menikmati pengalaman agropelancongan yang ditawarkan di ladang harumanis Perlis berkenaan amat bertuah menerima hadiah yang disediakan oleh pihak pengusaha ladang itu yang disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri kedua Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba Baginda telah disambut oleh Pemilik dan Pengasas Harumango Sdn Bhd, Datuk Rick Cheng.

MEMASUKI TAHUN KETIGA

Ladang Harumango kini memasuki tahun ketiga dibuka untuk kunjungan orangramai pada musim buah Harumanis Perlis dan terus berkembang sebagai antara destinasi agropelancongan popular di negeri tersebut dengan menerima kunjungan pelawat dari dalam dan luar negeri.

Kejayaan ladang ini turut didorong melalui kerjasama strategik bersama pelbagai agensi pelancongan yang berjaya menarik kehadiran pelawat secara berkumpulan termasuk rombongan bas persiaran serta kelab motosikal, khususnya pada hujung minggu dan musim cuti umum.

Selain menawarkan pengalaman menikmati suasana ladang Harumanis Perlis yang unik, Ladang Harumango turut menyediakan pelbagai produk berasaskan Harumanis Perlis seperti ais krim, pulut, pastri dan jus yang menjadi tarikan utama kepada para pengunjung.

Keberangkatan Baginda berdua jelas mencerminkan sokongan berterusan Institusi Diraja Perlis terhadap pembangunan sektor agropelancongan negeri yang bukan sahaja berpotensi merancakkan ekonomi setempat, malah memperkenalkan lagi keunikan Perlis sebagai destinasi pelancongan berasaskan pertanian kepada masyarakat luar.

Para pengunjung yang hadir secara spontan turut diajak memotong kek sempena Sambutan Hari Ibu bersama-sama Tuanku Raja Puan Muda Perlis di lokasi tersebut. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *