



13 Mei 2026
Situasi keselamatan di selatan Lebanon kembali tegang apabila satu letupan dipercayai melibatkan dron tidak dikenal pasti berlaku berhampiran Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL HQ), Naqoura pada Isnin.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini memaklumkan insiden itu menyebabkan kerosakan kecil pada Malaysia House yang menempatkan Pegawai Staf Tentera (PST) Malaysia di bawah UNIFIL HQ.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan membabitkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana kesemua mereka berada di dalam bunker ketika kejadian susulan arahan keselamatan yang telah dikeluarkan lebih awal.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian sentiasa memantau rapat perkembangan semasa bagi memastikan keselamatan anggota ATM di kawasan operasi terjamin.
“Kementerian Pertahanan melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau rapat situasi semasa di kawasan operasi serta bekerjasama dengan pihak UNIFIL dan elemen berkaitan bagi memastikan keselamatan anggota Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Insiden terbaharu itu berlaku ketika ketegangan di sempadan selatan Lubnan terus memuncak susulan konflik serantau yang semakin meruncing membabitkan Israel, Iran dan kumpulan Hezbollah.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kawasan operasi UNIFIL dilaporkan semakin berisiko apabila beberapa pangkalan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut terkena tempias serangan udara, bedilan artileri dan dron.
Sebelum ini, beberapa anggota pengaman Indonesia dilaporkan terkorban dalam siri serangan di selatan Lubnan ketika konflik rentas sempadan semakin memuncak.
Dalam satu insiden pada akhir Mac lalu, seorang anggota pengaman Indonesia maut manakala beberapa lagi cedera selepas sebuah projektil meletup berhampiran kem UNIFIL di Adchit Al Qusayr. Insiden itu disusuli satu lagi serangan berasingan ke atas konvoi logistik UNIFIL yang mengorbankan dua anggota pengaman negara itu.
Misi UNIFIL yang disertai Malaysia sejak 2007 bertanggungjawab memantau gencatan senjata dan membantu memastikan kestabilan di sepanjang sempadan Lubnan-Israel.
Ketika ini, ATM masih mengekalkan penugasan anggota pengaman negara di bawah misi berkenaan walaupun situasi keselamatan di kawasan operasi semakin mencabar.
