





Oleh: Sholina Osman
14 MEI 2026
Hubungan silatulrahim antara negeri Perlis dan Indonesia kini memasuki fasa baharu yang lebih dinamik.
Langkah ini diperkukuh melalui sesi kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Indonesia di Pulau Pinang, Wanton Saragih Sidauruk, ke atas Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, di Galeri DiRaja Arau baru-baru ini.
Pertemuan strategik ini membuka ruang kolaborasi besar yang memfokuskan kepada tiga sektor utama.
Bagi lonjakan hab pendidikan antarabangsa, kehadiran institusi seperti Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) yang kini mencecah 200 pelajar dan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dengan 130 pelajar Indonesia memantapkan landskap pendidikan Perlis.
UMAM MEMBERI KEUTAMAAN
Bagi memastikan pembangunan berterusan, Tuanku Raja Muda menyarankan UMAM memberi keutamaan kepada penawaran program pascasiswazah seperti Doktor Falsafah (PhD) dan Sarjana.
Sektor kedua melibatkan sinergi teknologi semikonduktor apabila pihak Indonesia menzahirkan hasrat menjalin kerjasama intim dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam bidang teknologi masa hadapan.
Langkah ini diperkukuh melalui cadangan pembangunan hab pendidikan dan kejuruteraan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memanfaatkan kepakaran UniMAP.
Seterusnya, peluang pelaburan dan pasaran turut diberi tumpuan.
UNTUK MENEROKA PELABURAN
Konsulat Jeneral Indonesia berhasrat untuk meneroka pelaburan di dua projek mega negeri iaitu Chuping Valley Industrial Area (CVIA) dan Perlis Inland Port (PIP).
Pada masa yang sama, pihak Konsulat Jeneral berhasrat untuk membuat kajian bagi membawa masuk produk bernilai tinggi seperti mangga Harumanis Perlis serta produk hiliran berasaskan jus ke pasaran Indonesia, di samping menerokai pasaran import dan eksport melibatkan wilayah Acheh.
Dengan kedudukan geografi Perlis yang strategik di sempadan utara Malaysia, pakatan ini diyakini mampu memacu pertumbuhan ekonomi serantau serta memperkasakan ekosistem perniagaan antarabangsa kedua-dua belah pihak. – JM
