LAWATAN KERJA MENTERI LUAR NEGERI KE MESYUARAT MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI BRICS, NEW DELHI,  REPUBLIK INDIA 14-15 MEI 2026

13 Mei 2026

YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri akan mengadakan Lawatan
Kerja ke New Delhi, Republik India, pada 14 dan 15 Mei 2026 bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri
Luar Negeri BRICS.

Mesyuarat ini merupakan salah satu platform persediaan utama menjelang Sidang
Kemuncak Pemimpin BRICS yang dijadual berlangsung pada 12 hingga 13 September 2026.

Tema Kepengerusian BRICS India 2026 adalah β€œMembina Ketahanan, Inovasi, Kerjasama dan
Kemampanan (BRICS)”, yang berteraskan kerangka menyeluruh β€œKemanusiaan Diutamakan”.

Keutamaan
Kepengerusian India ini adalah selari dengan kepentingan Malaysia, khususnya dalam memperkukuh
daya tahan ekonomi, memacu transformasi digital dan inovasi teknologi, serta menggalakkan
pembangunan mampan.

Semasa Mesyuarat tersebut, YB Menteri Luar Negeri dijadual menyampaikan kenyataan-kenyataan
negara, yang mana beliau menekankan komitmen Malaysia dalam memperkukuh multilateralisme,
memajukan kepentingan Global South, dan menyokong pembaharuan dalam tadbir urus global ke arah
sistem antarabangsa yang lebih inklusif dan saksama.

Malaysia juga akan mengambil peluang untuk berkongsi pandangan mengenai isu-isu global utama,
termasuk perdagangan, rantaian bekalan global, keselamatan tenaga, pendigitalan dan tindakan iklim.

Selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi Negara Anggota BRICS, Malaysia akan terus melibatkan
diri secara konstruktif dalam BRICS bagi mengukuhkan jalinan kerjasama dalam sektor-sektor
berkepentingan.

Di sela-sela Mesyuarat ini, YB Menteri Luar Negeri juga akan mengadakan pertemuan dengan
rakan-rakan sejawatnya untuk membincangkan isu-isu berkepentingan bersama.

Penyertaan YB Menteri Luar Negeri dalam Mesyuarat ini mencerminkan komitmen Malaysia terhadap
dasar luar yang berprinsip, seimbang dan pragmatik, di samping memperkukuh peranan Malaysia sebagai
kuasa pertengahan yang proaktif dalam membentuk sistem global yang lebih inklusif, stabil dan mampan.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *