



Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
15 MEI 2026
Kerajaan MADANI akan terus menyelaras seluruh ikhtiar merentas kementerian dan agensi agar pelaksanaan lebih cekap serta penyampaian bantuan dan pembangunan dapat dipercepat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemantauan juga harus diperkukuh supaya tiada kelewatan, ketirisan atau masalah pelaksanaan yang akhirnya menjejaskan rakyat.
Jelas beliau setiap projek mesti dipantau dengan teliti dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab serta amanah.
“Keutamaan kita adalah memastikan setiap perancangan diterjemah kepada tindakan yang berkesan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Seremban, Negeri Sembilan hari ini bagi meneliti status pelaksanaan program serta projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Beliau berkata perbincangan memberi fokus kepada aspek yang dekat dengan keperluan rakyat termasuk pendidikan, tebatan banjir, infrastruktur, kesihatan serta pengukuhan sosio-ekonomi.
“Saya tegaskan bahawa setiap projek dan program yang dirangka mesti benar-benar memberi manfaat serta dirasai rakyat di lapangan,” kata beliau. – JM
