
PAITAN, 16 Mei 2026 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC) melalui Pejabat Wilayah Sabah telah menganjurkan Karnival Komuniti
Kempen Internet Selamat 2026 bersempena Sambutan Hari Kaamatan Daerah
Paitan di Dewan Datuk James Ratib, Pekan Botition, Paitan, Sabah.
Karnival tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Sains,
Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Sugut, YB Datuk James Ratib.
Pelaksanaan Kempen Internet Selamat 2026 memberi fokus kepada komuniti
termasuk di kawasan luar bandar bagi memastikan masyarakat tidak tercicir
daripada menerima pendedahan berkaitan keselamatan Internet, risiko siber
serta penggunaan media sosial secara bertanggungjawab.
Karnival Komuniti di
Paitan merupakan penganjuran pertama peringkat komuniti di Sabah dengan 19
lagi siri karnival akan dilaksanakan di seluruh negeri menerusi pendekatan turun
padang dan penglibatan langsung bersama masyarakat.
Pelbagai aktiviti interaktif telah diadakan sepanjang program termasuk pameran
agensi, sesi perkongsian keselamatan Internet, aktiviti kekeluargaan dan
advokasi komuniti.
Pendaftaran Wira Internet Selamat (WIS) turut dibuka
sebagai inisiatif sukarelawan komuniti bagi membantu memperluas mesej
penggunaan Internet secara selamat dan berhemah.
Keperluan memperkukuh kesedaran keselamatan Internet di Sabah semakin
penting susulan peningkatan aduan kandungan dalam talian.
Sejak tahun 2023
hingga Mei 2026, sebanyak 5,455 aduan direkodkan di Sabah dengan kes
penipuan dalam talian mencatat jumlah tertinggi iaitu 1,500 kes, manakala kes
buli siber dan pornografi kanak-kanak turut membimbangkan.
Di Sandakan
sahaja, sebanyak 998 aduan diterima dengan 384 kes melibatkan penipuan
dalam talian.
Dalam memastikan keselamatan pengguna Internet terus diperkukuh,
khususnya melibatkan kanak-kanak dan remaja, kerajaan turut mengambil
langkah lebih tegas termasuk menetapkan bahawa pengguna di bawah umur 16
tahun tidak dibenarkan memiliki akaun media sosial secara bebas mulai
pertengahan tahun ini.
Pada masa sama, penyedia perkhidmatan juga
dikehendaki menyediakan fungsi kawalan ibu bapa (parental control) bagi
membantu mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan
bertanggungjawab.
Inisiatif ini turut selaras dengan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian
2025 atau Online Safety Act (ONSA) yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu bagi
memperkukuh keselamatan pengguna di alam siber, khususnya melibatkan
perlindungan kanak-kanak dan keluarga.
Program ini turut disertai oleh pelbagai
agensi dan rakan strategik MCMC termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM),
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional
(NADI).
Karnival tersebut berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung sepanjang program
berlangsung sekali gus mencerminkan komitmen MCMC dalam memperluas
mesej keselamatan Internet melalui pendekatan yang dekat dengan komuniti
dan budaya masyarakat Sabah.
