Usaha diplomatik perlu diteruskan bantu bebaskan tokoh Islam Rached Ghannouchi – Nurul Izzah

Oleh Helmi Mohd Foad

Malaysia perlu meneruskan usaha diplomatik bagi membantu memberikan keadilan kepada pemimpin politik Islam Tunisia, Dr Sheikh Rached Ghannouchi yang kini dipenjarakan di negara tersebut.

Pengerusi Eksekutif Polity, Nurul Izzah Anwar berkata apa yang boleh dilakukan ialah terus mengingatkan Kementerian Luar mengenai perjuangan tersebut yang perlu diberikan perhatian.

“Apa yang saya lakukan ialah terus mengingatkan Kementerian Luar bahawa ini merupakan salah satu perjuangan yang perlu kita beri perhatian,” katanya kepada selepas Forum “Keadilan Untuk Sheikh Rached Ghannnouchi” di The International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS Malaysia), Petaling Jaya malam tadi.

Sebelum ini, Nurul Izzah yang juga Timbalan Presiden KEADILAN berkata beliau merujuk isu tersebut kepada Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika beliau menjadi Menteri Luar.

“Saya tahu beliau sangat bersimpati terhadap Rached Ghannouchi,” katanya.

Rached Ghannouchi merupakan tokoh utama politik Tunisia dan pengasas parti Islam sederhana Ennahda selain pernah memegang jawatan Speaker Parlimen.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 14 tahun atas tuduhan “berkomplot menentang keselamatan negara”, sekali gus menambah beberapa hukuman lain yang diterimanya sejak dipenjarakan pada 2023.

TINDAKAN KERAS KERAJAAN

Kumpulan hak asasi manusia menyifatkan tindakan terhadap Ghannouchi merupakan sebahagian daripada tindakan keras kerajaan Presiden Kais Saied terhadap pembangkang sejak beliau menggantung parlimen pada 2021 dan mula memerintah melalui dekri.

Rached Ghannouchi menjadi tokoh penting selepas Arab Spring pada 2011 yang menggulingkan Presiden Zine El Abidine Ben Ali.

Selepas revolusi itu, Ennahda memenangi pilihan raya demokratik pertama Tunisia dan membentuk kerajaan campuran, manakala Ghannouchi kembali dari buangan politik di London untuk menjadi antara figura paling berpengaruh dalam politik negara itu.

Terdahulu Nurul Izzah berkata, banyak pihak melihat kes Ghannouchi bukan lagi sekadar melibatkan seorang individu, tetapi sebagai simbol kemerosotan demokrasi.

Mengenai pengajaran yang boleh diambil Malaysia daripada pengalaman Ghannouchi, beliau berkata tokoh itu melambangkan kepentingan untuk terus mempertahankan harapan dalam sistem demokrasi.

“Bagi Malaysia, antara perkara paling penting yang perlu sentiasa kita awasi ialah pemeliharaan kebebasan institusi-institusi negara sebagai benteng terhadap sebarang penyalahgunaan kuasa atau tindakan melampau.

MEMERLUKAN SOKONGAN

“Kita bercakap mengenai badan kehakiman, pengawal selia dan juga pihak berkuasa penyiasatan. Semua institusi ini sepatutnya bertindak sebagai pelindung daripada sebarang bentuk penyalahgunaan atau penyelewengan,” katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat agar terus mengingati Rached Ghannouchi serta tahanan politik lain di Tunisia yang memerlukan sokongan, suara dan tindakan daripada masyarakat antarabangsa.

Nurul Izzah berkata beliau mula mengenali tokoh itu ketika membaca buku tulisan Dr Azzam Tamimi, aktivis politik kelahiran Palestin mengenai demokrat Islam.

Katanya, perjalanan hidup Ghannouchi sangat luar biasa kerana beliau melalui pelbagai pengalaman politik yang sukar namun tetap berfikiran terbuka untuk memahami, belajar dan berpegang kepada prinsip yang diperjuangkannya.

“Ia sesuatu yang sangat bernilai apabila seseorang itu mempunyai keterbukaan untuk memahami dan belajar, kemudian hidup berdasarkan prinsip yang dibawanya sendiri,” katanya.

Terdahulu dalam forum tersebut yang turut menampilkan Dr Rafik Abdes Salem, bekas Menteri Luar Tunisia, Nurul Izzah bercakap tentang perjuangan demokrasi, penindasan politik di Tunisia dan bagaimana Ghannouchi menjadi simbol harapan bahawa Islam dan demokrasi boleh bergerak seiring.

Beliau berkata apabila membincangkan isu Rached Ghannouchi, ia sering disertai rasa kecewa melihat keadaan dunia hari ini terutama ketika dunia sedang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai dan normalisasi terhadap tingkah laku manusia yang paling buruk selepas pandemik.

Nurul Izzah turut mengimbau pengalamannya menghadiri persidangan parti Ennahda pimpinan Rached Ghannouchi di Tunisia dan menyifatkan negara itu sebagai indah serta penuh harapan ketika era transisi demokrasi selepas Arab Spring.

MEMBINA GERAKAN POLITIK

Nurul Izzah memuji kemampuan tokoh Islam itu membina gerakan politik yang hidup dan inklusif, termasuk memberi ruang kepada wanita dalam politik dan Parlimen.

Katanya, ramai ahli politik memiliki sifat narsisistik tetapi Ghannouchi menunjukkan pemikiran jauh ke hadapan apabila gerakannya turut menilai aspek psikologi calon politik masa depan.

Beliau menyebut bahawa Ghannouchi telah melalui penjara dan penindasan selama berdekad-dekad, namun tetap membawa gagasan bahawa Islam boleh hidup bersama demokrasi.

Nurul Izzah menegaskan perjuangan membebaskan Ghannouchi bukan hanya mengenai seorang individu, tetapi mengenai semua tahanan politik di Tunisia hari ini.

Beliau kemudian memetik tulisan anak Ghannouchi yang menggambarkan bagaimana tokoh berusia 84 tahun itu melakukan mogok lapar di penjara sebagai tanda solidariti terhadap seorang profesor berhaluan kiri, walaupun keadaan kesihatannya sangat lemah.

Menurut Nurul Izzah, tindakan itu membuktikan bahawa perjuangan demokrasi sebenar melangkaui sempadan ideologi dan kepentingan diri.

PERPECAHAN DALAMAN

Dalam ucapannya, Nurul Izzah turut mengkritik apa yang disifatkannya sebagai hipokrasi Barat yang sering bercakap mengenai demokrasi tetapi pada masa sama membiarkan kolonialisme dan penindasan terus berlaku.

Beliau berkata umat Islam juga perlu menghentikan perpecahan dalaman termasuk polemik Sunni-Syiah dan membina solidariti lebih kukuh bagi menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.

Beliau menyatakan dunia Islam, termasuk negara umat Islam di Asia masih gagal membina solidariti yang cukup kuat dalam isu-isu antarabangsa.

Tambah beliau umat Islam tidak boleh bergerak secara berasingan kerana semua bentuk penindasan saling berkait.

Katanya ancaman terhadap demokrasi, isu Palestin, ekonomi global dan ketidakadilan antarabangsa sebenarnya datang daripada sistem yang sama.

“Kita tidak boleh lagi melihat setiap perjuangan secara berasingan. Semua bentuk penindasan dan ketidakadilan hari ini sebenarnya saling berkait,” katanya.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *