π—žπ—˜π—£π—₯π—œπ—›π—”π—§π—œπ—‘π—”π—‘ π——π—œπ—›π—”π—₯π—šπ—”π—œ: π—£π—˜π—¦π—”π—žπ—œπ—§ 𝗔π—ͺ𝗔𝗠 π—­π—”π—›π—œπ—₯ π—£π—˜π—‘π—šπ—›π—”π—₯π—šπ—”π—”π—‘ π—žπ—˜π—£π—”π——π—” π— π—”π—Ÿπ—•π—”π—§π—§ 𝟴𝟱𝟬-𝟭𝟯

LUBNAN, 18 Mei 2026 – Seorang penduduk tempatan, En. Muhammad bin Ahmad telah hadir ke UNP 2-1, Kem Ma’rakah bagi menzahirkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada MALBATT 850-13 atas rawatan perubatan yang diterima sehingga beliau sembuh sepenuhnya.

Kunjungan tersebut telah disambut oleh Komander MALBATT 850-13, Kol Mohd Rizal bin Mohd Ali dan turut dihadiri oleh Pegawai Perubatan Kanan, Mej (Dr) Mohammad Sahlin bin Hamdi yang terlibat secara langsung dalam rawatan beliau.

Menurut En. Muhammad bin Ahmad, beliau mengalami kecederaan melecur pada bahagian tangan akibat kemalangan letupan elektrik semasa mengalihkan peti ais di kediamannya. Susulan kejadian tersebut, beliau telah mendapatkan rawatan kecemasan di UNP 2-1, Kem Ma’rakah pada 18 April 2026 sebelum meneruskan rawatan susulan secara berperingkat di Hospital Level 1 selama hampir sebulan sehingga kecederaan yang dialami pulih sepenuhnya dan beliau kini dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Dalam sesi pertemuan tersebut, Komander MALBATT 850-13 turut melihat sendiri keadaan kecederaan yang pernah dialami oleh En. Muhammad bin Ahmad sebelum menzahirkan penghargaan kepada Elemen Ubat MALBATT 850-13 atas komitmen, kepakaran dan profesionalisme yang dipamerkan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan, khususnya kepada masyarakat setempat.

Pertemuan ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan MALBATT 850-13 terhadap kebajikan masyarakat tempatan, malah turut memperkukuh hubungan baik serta meningkatkan keyakinan komuniti setempat terhadap kehadiran pasukan pengaman di bumi Lubnan.

Artikel dan gambar disediakan oleh Tim Public Information Officer (PIO) MALBATT 850-13.

PejuangMALBATT13

TheLastGuardian

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *