MARDI serah 1,000 anak sulur nanas varieti MS16 kepada JPJ Perlis

Oleh: Sholina Osman
19 MEI 2026

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini menjalin kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis dengan menyerahkan 1,000 anak sulur nanas varieti MS16 sebagai pelaksanaan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Serahan itu dilakukan oleh Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani kepada Pengarah JPJ Perlis Noraini Mohd Nawi di JPJ Perlis, Jejawi, Arau.

Hadir sama Pengarah Pusat
Penyelidikan Hortikultur MARDI Dr. Zulhazmi Sayuti dan Pengarah
MARDI Perlis Noorman Affendi Marzukhi.

Tanaman nanas itu akan diusahakan di sekitar kawasan jabatan berkenaan oleh Kelab JPJ Perlis yang dipengerusikan oleh Mohd Khairy Dawood.

KOMITMEN BERTERUSAN MARDI

Mohamad Zabawi berkata program ini bukan sahaja simbolik penyerahan anak sulur nanas MS16, malah mencerminkan komitmen berterusan MARDI dalam memperkasa sektor pertanian negara melalui penyelidikan, inovasi dan
pemindahan teknologi kepada masyarakat.

Beliau berharap penyerahan anak sulur ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pegawai dan kakitangan JPJ Perlis dan menjadi pemangkin kepada aktiviti pertanian yang lebih produktif serta menjana pendapatan tambahan kepada komuniti setempat.

“JPJ Perlis merupakan kerjasama strategik ke dua MARDI selepas Pusat Koreksional Jasin, Melaka,” katanya

Beliau berkata pada peringkat awal ini pihaknya memberikan sulur nanas dahulu dan selepas ini pula varieti durian, rambutan dan belimbing oleh MARDI.

AKAN MEMBERI HASIL

“Percubaan awal tanam 1,000 sulur nanas akan memberi hasil selepas 15 bulan dan ia akan berkembang kepada 7,000 sulur ,” katanya.

Sementara itu kenyataan media MARDI memaklumkan varieti nanas MS16 yang diserahkan pada hari ini merupakan antara hasil penyelidikan MARDI yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan.

Varieti ini mempunyai ciri-ciri yang baik dari segi kualiti buah, rasa dan penerimaan pasaran.

Pertamakali varieti ini telah dilancarkan pada 17 Disember 2023 di MARDI Pontian, Johor.

SEHINGGA 48 TAN/HEKTAR

Berat purata buah adalah 1.5 kilogram dan berpotensi menghasilkan sehingga 48 tan/hektar.

Manakala, pengeluaran bahan penanaman yang banyak, melebihi lima sulur pada satu masa dan toleran terhadap penyakit reput teras bakteria.

Nilai kemanisan tinggi iaitu 16 – 21 peratus Brix, isi berwarna kuning, rasa kurang lidas, tekstur rangup, aromatik dan sesuai untuk dimakan segar. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *