



19 Mei 2026
Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini telah mendengar pembentangan daripada Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) berhubung kesan krisis bekalan global terhadap sektor pembuatan negara.
Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim berkata, pembentangan ini memberi gambaran yang lebih jelas kepada Kerajaan mengenai cabaran semasa yang sedang dihadapi pihak industri.
Jelas PMX lagi , Ini penting supaya langkah dan dasar yang dirangka Kerajaan benar-benar mengambil kira realiti di lapangan, khususnya dalam membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang paling terkesan dengan tekanan kos semasa.
Beliau berkata, ketika ini, Kerajaan telah mengambil langkah memperkukuh sokongan melalui SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) berjumlah RM5 bilion oleh Bank Negara Malaysia bagi memastikan PKS terus berupaya mengekalkan aliran tunai dan meneruskan operasi perniagaan.
Kata PMX, sokongan jaminan pembiayaan melalui SJPP berjumlah RM5 bilion turut disediakan bagi membantu sektor yang terkesan.
” MTEN turut meneliti cadangan penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang akan dilaksanakan secara seimbang supaya kawalan ketirisan dapat diperkukuhkan tanpa menjejaskan operasi perniagaan dan rantaian bekalan negara, ” kata PMX dalam perkongsian di laman media sosial hari ini.
Jelas beliau, Kerajaan akan terus mengurus krisis ini dengan memberi tumpuan kepada jaminan bekalan makanan, tenaga, ubat-ubatan dan barangan keperluan, di samping mengekang tekanan kenaikan harga serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
Menurut PMX , libat urus bersama industri dan semua pihak berkepentingan akan terus dipertingkat supaya setiap keputusan dasar dibuat secara menyeluruh dan berpaksikan kepentingan rakyat serta negara.
