SIASATAN BERKUALITI TINGKATKAN KREDIBILITI SPRM, PERHEBAT PENDIDIKAN ANTIRASUAH

Shah Alam, 21 Mei – Pengurusan organisasi dan operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor akan terus diperkasa bagi memastikan aspek penguatkuasaan, pencegahan rasuah dan kebajikan warga kerja dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Sri Abd Halim Aman berkata, setiap siasatan yang dijalankan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan teliti supaya tidak membuka ruang kepada mana-mana pihak mempertikaikan kredibiliti siasatan SPRM.

“Pegawai penyiasat juga diingatkan supaya membuat pemilihan akta yang tepat berdasarkan kesalahan yang diadukan bagi setiap pertuduhan kes ke mahkamah agar pendakwaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Kompleks SPRM Selangor bagi meninjau perkembangan operasi, pengurusan serta usaha pencegahan rasuah yang dilaksanakan di negeri itu, di sini semalam.

Terdahulu, ketibaan beliau disambut Pengarah SPRM Selangor, P/TPj Mohd Azwan Ramli bersama barisan pegawai negeri sebelum menghadiri sesi taklimat berkaitan Kompleks SPRM Selangor, sumber manusia, program pendidikan antirasuah serta cabaran yang dihadapi.

Dalam sesi tersebut, P/TPj Mohd Azwan turut membentangkan statistik operasi bagi tempoh tiga tahun termasuk perkembangan kes berimpak tinggi yang dikendalikan oleh SPRM Selangor.

Dato’ Sri Abd Halim turut menegaskan bahawa pendidikan antirasuah perlu terus dipergiatkan khususnya dalam kalangan generasi muda melalui pelbagai aktiviti pendidikan dan kesedaran.

“Teruskan usaha menerapkan mesej antirasuah serta tingkatkan lagi aktiviti untuk mendidik kanak-kanak dan pelajar baik di peringkat sekolah mahupun di Institusi Pengajian Tinggi (IPT),” katanya.

Mengakhiri lawatan, beliau turut mengingatkan pihak pengurusan supaya sentiasa menjaga kebajikan pegawai dan kakitangan selain menerapkan prinsip kepimpinan yang mesra bagi mewujudkan suasana kerja harmoni.

“Jangan ketepikan kebajikan pegawai dan kakitangan dan perlulah menjaga hubungan yang baik dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, P/TPj Mohd Azwan merakamkan penghargaan atas kesudian Dato’ Sri Abd Halim mengadakan lawatan kerja ke negeri itu serta berkongsi pandangan dan nasihat kepada warga SPRM Selangor.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh dan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, KPKPj Hisyam Mohd Yusoff.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *