Intervensi berasaskan data antara perlu diperkukuh bagi tingkatkan prestasi pendidikan di Perlis – Raja Muda

Oleh: Sholina Osman
22 MEI 2026

Bagi meningkatkan lagi prestasi pendidikan pada segenap peringkat peperiksaan di negeri Perlis ini, intervensi berasaskan data, dengan penggunaan maklumat yang tepat bagi memantau prestasi mata pelajaran kritikal, kehadiran pelajar, status calon, serta keberkesanan bimbingan pendidik hendaklah diperkukuhkan.

Pada masa yang sama, sokongan kepada calon yang memerlukan bimbingan, termasuk usaha meningkatkan kehadiran melalui program ziarah cakna, bimbingan kaunseling dan penglibatan aktif ibu bapa atau penjaga serta agensi berkaitan mestilah diperhebatkan.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan Program Agihan Zakat MAIPs anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Masjid Putra Simpang Empat baru-baru ini.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

INISIATIF BERTERUSAN MAIPs

Program berimpak tinggi ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan MAIPs dalam memastikan bantuan zakat disalurkan secara tersusun, telus dan berkesan kepada golongan asnaf, melibatkan keseluruhan kariah di Negeri Perlis.

Dalam majlis tersebut, Baginda berdua berkenan menyempurnakan agihan sumbangan zakat berjumlah RM105,000 yang memanfaatkan seramai 150 penerima, terdiri daripada 75 orang anak kariah Simpang Empat dan 75 orang lagi anak kariah Bunga Emas.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan harapan agar bantuan yang disalurkan ini bukan sahaja dapat meringankan beban penerima, malah menjadi pemangkin kepada peningkatan taraf hidup serta kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.

Program MAIPs ini sekali lagi membuktikan komitmen berterusan institusi agama negeri dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial, selaras dengan aspirasi untuk membina masyarakat yang lebih sejahtera, inklusif dan berdaya tahan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *