Raja Muda lancar Promosi Masakan Perlis di Premiera Hotel Kuala Lumpur.

Oleh: Sholina Osman
22 MEI 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Program Promosi Masakan Perlis oleh Premiera Hotel Kuala Lumpur.

Program tersebut dianjurkan oleh hotel berkenaan bersempena dengan Pelancaran Program Perlis Showcase 2026 yang berlangsung dari 20 hingga 22 Mei 2026 dengan kerjasama pihak MARA, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).

Msjlis pelancaran diadakan di Tingkat 24, Anjung Korporat MARA, Ibu Pejabat Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kuala Lumpur.

Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda puteri Baginda berdua iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

KURMA DAGING PERLIS

Pada program tersebut, para tetamu berpeluang menikmati hidangan istimewa negeri Perlis iaitu Kurma Daging Perlis yang disediakan khas oleh Chef Eksekutif Premiera Hotel Kuala Lumpur, Chef Dzulkarnain @ Jol Salleh.

Selain Kurma Daging Perlis, turut disajikan secara istimewa ialah Laksa Kuala Perlis dimakan dengan Pulut Udang, Nasi Goreng ala Hai Thien Kuala Perlis, Gulai Rebung Perlis, Pekasam Goreng Tasoh, Pek Nga, dan Pulut Kucai.

Menu autentik tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pengunjung yang hadir.

Penganjuran program ini bertujuan memperkenalkan serta mempromosikan keunikan warisan masakan negeri Perlis, khususnya Kurma Daging Perlis, kepada masyarakat Malaysia amnya di Kuala Lumpur.

MENJADI PLATFORM TERBAIK

Baginda turut menzahirkan harapan agar penganjuran program seumpama ini dapat menjadi platform terbaik dalam memperkukuhkan sektor pelancongan dan ekonomi negeri menerusi promosi produk makanan tradisional, di samping membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk mengetengahkan produk dan kepakaran masing-masing ke peringkat lebih tinggi.

Turut hadir ialah Pengerusi MARA, Datuk Wira Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, Pengarah MARA Negeri Perlis, Mohd Norwawi Ibrahim serta barisan pengurusan tertinggi MARA.

Penganjuran program seumpama ini diyakini mampu menjadi pemangkin penting dalam memperkenalkan Perlis sebagai sebuah destinasi yang kaya dengan identiti, budaya dan produk berkualiti tinggi, di samping memperkukuhkan kedudukan usahawan tempatan agar terus berdaya maju, progresif dan kompetitif di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Perlis 2024-2026, Program Perlis Showcase 2026 bukan sahaja menjadi medan promosi ekonomi dan pelancongan negeri, malah turut memperlihatkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkasa agenda pembangunan rakyat melalui pendekatan yang inklusif, kreatif dan berimpak tinggi demi kemajuan negeri Perlis secara menyeluruh. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *