



Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
23 MEI 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir majlis Wacana Harmoni MADANI sempena sambutan Hari Wesak yang mengangkat pentingnya persefahaman, nilai kemanusiaan serta keharmonian antara masyarakat pelbagai agama dan kaum di negara ini.
Jelas beliau negara ini sejak awal di bawah pimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah dibina atas semangat “Bersekutu Bertambah Mutu”. Kepelbagaian dan perbezaan bukan perkara baharu, malah menjadi asas pembentukan Malaysia sejak merdeka.
“Islam ditetapkan sebagai agama Persekutuan dan masyarakat Melayu serta bumiputera sebagai majoriti,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Namun sejak awal juga, beliau berkata negara ini dibangunkan dengan sikap saling menghormati dan memuliakan kepelbagaian kaum serta agama.
“Saya turut menegaskan bahawa gagasan Malaysia MADANI kembali memperkukuh nilai ihsan, adab dan kemanusiaan yang menjadi teras pembinaan negara,” kata beliau.
Anwar berkata sebab itu budaya wacana dan dialog antara agama mesti terus disuburkan, bukannya setiap hari mencari isu untuk meniup kebencian, menakut-nakutkan rakyat dan memecahkan masyarakat demi laba politik sempit.
Berikutan itu kata Anwar sudah sampai ketikanya rakyat yang sederhana dan cintakan keamanan bersuara mempertahankan perpaduan negara.
“Jangan kita biarkan “tyranny of the minority” atau kelompok kecil yang gemar memainkan sentimen perkauman dan fitnah merosakkan masa depan Malaysia yang dibina atas semangat saling menghormati dan hidup bersama,” tambah beliau. – JM
